Lima kementerian akan menukar pegawai kanan
Tidak kurang lima lagi kementerian akan menyaksikan pemindahan beberapa pegawai kanan sebagai sebahagian perubahan dalam lapan kementerian menjelang akhir tahun selepas diminta oleh menteri.
Sumber kerajaan berkata pemindahan pegawai-pegawai itu akan melibatkan ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Sumber Manusia dan Pembangunan Usahawan.
Bagaimanapun menurut laporan The Malaysian Insight, pemindahan itu tidak bermakna wujud tindakan sabotaj di dalam kementerian. Ianya dibuat atas permintaan menteri bagi memastikan kelancaran operasi di kementerian mereka.
Tiga kementerian yang dikatakan itu adalah sebahagian daripada lapan kementerian yang dilaporkan The Malaysian Insight awal bulan ini yang melibatkan perubahan penjawat awam kanan ketika Pakatan Harapan mengambil langkah bagi menangani “daulah terpendam” dalam perkhidmatan awam.
Kementerian lain yang terlibat adalah Industri Pertanian dan Asas Tani; Pelancongan, Seni dan Budaya; Pendidikan; Komunikasi dan Multimedia; dan Kerjaraya.
Perubahan yang berlaku di Kementerian Pertanian melibatkan Ketua Setiausaha Mohd Sallehhuddin Hassan yang dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Isham Ishak ke Kementerian Pengangkutan.
Ketua Pengarah Industri Utama Dr Tan Yew Chong juga dipindahkan ke JPA, sementara Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Jamil Rakon dinaikkan pangkat menjadi Ketua Setiausaha di kementerian yang sama.
Sumber itu berkata kekosongan jawatan setiausaha agung dalam Kementerian Pertanian pula akan diisi oleh bekas setiausaha negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman.
Jawatan ketua setiausaha di Kementerian Pelancongan dan Kementerian Industri Utama pula bagaimanapun masih kosong.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada awal minggu ini ditanya mengenai kewujudan daulah terpendam dalam perkhidmatan awam yang mensabotaj pentadbiran Pakatan Harapan.
Menurutnya beliau akan menyiasat dakwaan tersebut.
Kewujudan “daulah terpendam” dalam perkhidmatan awam disebut oleh beberapa menteri namun dakwaan tersebut masih tidak jelas sama ada ia adalah sebuah organisasi tersusun, rahsia atau didalangi pegawai kerajaan yang pro-Barisan Nasional atau pegawai yang tidak dapat menyesuaikan diri bekerja di bawah kerajaan baharu.
Sumber kerajaan memberitahu The Malaysian Insight bahawa sejak PH mengambil alih pentadbiran persekutuan, “banyak” penjawat awam yang telah mencapai usia persaraan, manakala mereka yang masih mempunyai baki tempoh kontrak tidak menerima sambungan kontrak.
“Di bawah kerajaan PH, ramai penjawat awam keluar apabila tempoh kontrak mereka tamat dan khidmat mereka tidak dilanjutkan.”
Sumber itu berkata salah seorang daripada mereka adalah Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar yang dilantik ke jawatan itu pada Ogos tahun lepas.
Beliau akan bersara pada 9 Januari tahun hadapan di usia 60 tahun, dan khidmat beliau tidak akan disambung.
Sumber itu juga berkata ketua setiausaha negara yang baharu mungkin dilantik dari Kementerian Kewangan.