Ramkarpal gesa siasatan semula kes bunuh Altantuya



Peguam mewakili keluarga Altantuya Shaariibu, Ramkarpal Singh menggesa pihak berkuasa membuka semula kertas siasatan berhubung pembunuhan wanita warga Mongolia itu susulan pendedahan mengejut bekas anggota polis, Azilah Hadri.

Azilah, seorang dari dua tertuduh yang dijatuhi hukuman mati berhubung kes berkenaan, mendakwa telah diarahkan oleh Najib Razak yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri untuk membunuh Altantuya pada 2006.
Pendedahan itu difailkan Azilah menerusi Akuan Bersumpah (SD) dan dilaporkan serta diterbitkan penuh oleh portal berita, Malaysiakini, hari ini. 

Menurut Ramkarpal, pihak berkuasa boleh menggunakan SD berkenaan bagi membuka semula siasatan berhubung pembunuhan Altantuya. 

“Tidak perlu tunggu untuk laporan polis dibuat berhubung perkara itu kerana polis boleh mengambil tindakan berdasarkan SD itu sendiri. 

“Kenyataan terbaru sekarang perlu diambil dari Azilah sendiri dan orang-orang yang dia libatkan dalam SD yang diperkatakan, termasuk Najib dan saya menggesa Ketua Polis Negara (Abdul) Hamid Bador berbuat demikian dengan serta-merta memandangkan betapa seriusnya dakwaan yang diperkatakan.

“Misteri tentang siapa mengarahkan pembunuhan Altantuya mesti diselesaikan dan perkembangan hari ini boleh menjadi satu langkah penting ke arah itu. 

“Keluarga Altantuya tidak akan berdiam sehingga motif dan personaliti di sebalik pembunuhan kejamnya didedahkan dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” kata Ramkarpal dalam kenyataan, hari ini. 

Selain Najib, Azilah turut mendakwa arahan pembunuhan dan menghapuskan Altantuya juga di bawah pengetahuan bekas pembantu Najib, Razak Baginda dan pegawai kanan polis DSP Musa Safri.