PKR, PH DAN MALAYSIA SIRI 1




Rumah siap pahat masih berbunyi. Pepatah ini sesuai menggambarkan Kongres PKR minggu lalu. Nampaknya masalah parti itu yang nampak macam menuju penyelesaian 24 jam sebelum bermula Kongres itu menjadi semakin besar.

Ini tidak sihat untuk Malaysia Baharu kerana PKR adalah parti terbesar dalam kerajaan. Tambahan pula imej PH belum cukup baik dan terbukti dengan kekalahan besar di Tg Piai. Cerita politik dalaman PKR hanya menyumbang kepada sebab lain kenapa rakyat tidak begitu yakin dengan kestabilan kerajaan pada hari ini.

Tapi masalah dalaman PKR bukan baru. Sejak penubuhannya dengan nama PKN dulu pun ramai pengasas dan kumpulan pemimpin parti itu keluar dan menyertai parti lain. PKR tetap dapat undian mengikut corak mood rakyat terhadap isu semasa, bukan kerana pergolakan dalaman parti itu.

Menarik sekali jika ditanya kepada bekas pemimpin-pemimpin parti itu mereka akan memberi dua sebab tidak lagi meyakini perjuangan PKN atau PKR iaitu kerana faktor Azmin cuba mengawal parti itu dan Anwar memihak kepada Azmin bila ada pergeseran antara Azmin dengan mereka. Azmin pada waktu itu menggunakan kedudukan sebagai bekas SU Sulit Anwar untuk mengekal dan mengukuh pengaruhnya dalam parti. Siapa berani menyanggah Anwar? Maka mereka terpaksa akur dengan Azmin yang mendakwa mewakili aspirasi Anwar. Antara yang kecewa pada waktu itu termasuk Chandra Muzaffar, Abdul Rahman Othman, kumpulan ABIM, Ezam Mohd Nor dan rakan-rakan pengasas Pemuda Keadilan bahkan ramai lagi yang mungkin kurang dikenali umum.

Anwar pada waktu itu lebih banyak di dalam penjara. Wan Azizah bukanlah ahli politik. Beliau lebih merupakan simbol bahawa parti ini terasas daripada perjuangan Anwar dan Anwar masih belum mendapat keadilan. Bayangkan jika Chandra Muzaffar atau Azmin atau Ezam mahukun Syed Husin Ali jadi Presiden PKN atau PKR sejak 1999 atau 2003. Tak sama auranya. Silap haribulan PKN atau PKR jadi macam PRM saja. Isu Anwar adalah simbol ketidakadilan yang besar. Bukanlah isu-isu rakyat yang lain tidak penting. PAS, PRM dan banyak lagi pemimpin dan parti bercakap pasal isu rakyat sejak dulu. Impak politiknya tak pun menggegar kekuasaan BN sebagaimana isu Anwar pada tahun 1999.