PENGIKTIRAFAN BUAT ANWAR

Image result for anwar mahathir



Minggu lalu, Tun Mahathir Mohamad sekali lagi menepis tanggapan bahawa Anwar Ibrahim bukan penggantinya.
Katanya, apabila berhenti nanti, orang yang akan menggatinya ialah Presiden PKR itu sebagaimana yang telah dipersetujui oleh PH sebelum ini.
“Semua orang berhak memberi pendapat, tetapi pendirian saya dalam soal pengganti Perdana Menteri tidak berubah,” jelas Tun Mahathir lagi.
Semalam pula, melalui interbiu dengan NST, Tun Mahathir memperakui bahawa Anwar adalah pemimpin yang lebih baik berbanding Najib Razak.
Beliau turut mengakui peranan dan sumbangan Anwar sebagai arkitek dalam membentuk PH atau dulunya PR sehingga ia berjaya menjadi gabungan pembangkang yang mantap serta akhirnya berjaya menumbangkan BN dalam PRU14 yang lalu.
Tambah Tun Mahathir lagi, Anwar memiliki kualiti kepimpinan yang baik untuk mengetuai PH.
Bersama pengiktirafan Tun Mahathir itu, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin turut mengeluarkan kenyataan seperti di bawah ini:-
KENYATAAN MEDIA
“Mahathir-Anwar. Serumpun bagai serai, seliang bagai tebu”.
Merujuk kepada wawancara eksklusif Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad bersama Pengarang Kanan New Straits Times (NST) di Putrajaya yang dipetik oleh akhbar Berita Harian hari ini, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengalu-alukan pandangan ikhlas YAB Perdana Menteri ke atas Presiden KEADILAN YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengakui bekas timbalan beliau itu sebagai seorang yang berpengalaman luas dan merupakan arkitek yang telah membentuk Pakatan Rakyat sekaligus menyerlahkan kepimpinan beliau.
Semenjak kemenangan Pakatan Harapan didalam PRU 14 yang lalu, kejayaan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang telah bertapak selama 61 tahun merupakan satu kejayaan yang tidak terduga.
Jelas kejayaan ini tidak datang bergolek tanpa sokongan padu seluruh rakyat Malaysia kepada gabungan parti-parti di bawah panji Pakatan Harapan.
KEADILAN akur bahawa kejayaan ini juga tidak mungkin akan wujud tanpa pautan tangan serta strategi ampuh dibawah dua pemimpin besar Tun. Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
KEADILAN sedar bahawa konflik dan sengketa lalu tidak akan pernah menghalang daripada dua tokoh berjiwa besar ini berganding bahu bagi memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan dan dipelihara bagi memacu negara Malaysia menjadi sebuah negara disegani didunia.
KEADILAN sedar ada pihak yang tidak dapat menerima kekalahan lalu dan cuba mananam ranjau atas gabungan erat Mahathir-Anwar ini. KEADILAN menempelak pihak-pihak yang tidak sudah-sudah melaga-lagakan kedua-dua pemimpin besar ini.
Sesungguhnya agenda rakus pihak-pihak terdesak itu sangat memualkan dan membelakangkan keutuhan negara hanya kerana ingin terus kembali di tampuk kuasa.
Ketika Malaysia sedang melangkah kehadapan dan bangkit dari kemusnahan yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional, KEADILAN dengan sepenuh hati menyeru agar seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa agar terus memberikan sokongan dan mandat kepada kedua-dua pemimpin ini untuk memacu Malaysia menuju menjadi sebuah negara yang aman, makmur, megah dan berdaulat.
KEADILAN berikrar akan menjadi jambatan dan tali ikatan kepada semua pihak bagi memastikan persefahaman dan kerja keras antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar terus diperkukuhkan demi memastikan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dibalas dengan jujur, adil dan saksama.
KEADILAN mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang tidak pernah lekang dan jemu menyatakan kepercayaannya kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti beliau nanti.
KEADILAN juga ingin memberikan amaran kepada pihak-pihak yang sengaja ingin melihat kemusnahan gabungan Mahathir-Anwar agar berhenti mengadu domba sebaliknya berubahlah menjadi lebih positif demi kepentingan negara kita.
Ini adalah masa untuk Pakatan Harapan menabur bakti kepada rakyat. Kami Pakatan Harapan serta gabungan Mahathir-Anwar ini telahpun dipilih dengan penuh air mata dan keringat oleh jutaan rakyat dan akhirnya telahpun beroleh kemenangan pada PRU 14 yang lalu.
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Sesungguhnya, tidak semudah itu akan kami lepaskan kejayaan itu. Jika benar anak jantan tunggu hingga tiba masanya dan ayuh beradu lagi di PRU 15.
Membujur lalu, melintang patah!
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Penerangan KEADILAN.
Apa yang penting, penegasan Tun Mahathir kali ini bukan saja merupakan suatu pengiktirafan kepada Anwar, tetapi juga seharusnya menutup terus semua sosek-sosek atau keraguan mengenai pengganti Perdana Menteri.
Tidak saja pemilihan Anwar sebagai pengganti merupakan persetujuan PH sendiri, malah beliaulah pilihan terbaik dan diyakini di kalangan pimpinan yang ada dalam gabungan itu.
Tun Mahathir yakin mengenainya dan pimpinan PH juga sama yakin dengannya.
Cuba-cuba mencari atau menonjolkan yang lain sebagai pengganti bukan saja mengingkari janji yang telah dimetrai, yang lebih buruk ia tentunya akan menjerumuskan PH kepada kancah perpecahan yang buta-buta akan memberi kelebihan kelebihan kepada UMNO/BN/Pas merampas semula kuasa.
Setelah bersusah payah menumbangkan UMNO/BN pada pilihanraya lalu, perkara itu tentunya bukan merupakan pilihan dan keinginan PH serta Tun Mahathir sendiri.
Dalam usia senjanya, tidak berbaloi bagi Tun Mahathir mencipta persengketaan buat kali kedua serta meninggalkan legasi buruk untuk namanya.
Sebagai negarawan, beliau akan terus disanjung dan harum namanya sepanjang zaman jika terus memastikan PH kekal berkuasa mentadbir negara ini dengan lebih lama lagi. (Shahbudindotcom 08/04/2019).

No comments: