Kenyataan mencuri Noh Omar cerminan akhlak buruk pemimpin BN – Kor Ming


Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming membidas Noh Omar berhubung kenyataan “mencuri” di Parlimen.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu seperti dipetik media pada Khamis lalu menyebut “mencuri tidak salah, tau? Bila kena tangkap, itu baru salah”.

Menurut Kor Ming, kenyataan tidak sensitif tersebut menunjukkan sikap sebenar ahli parlimen pembangkang Barisan Nasional (BN) yang tidak bermoral.

“Dia katakan mencuri ini bukan satu kesalahan jika tidak ditangkap. Saya mahu tegaskan di sini, di sisi Islam, mencuri sama ada ditangkap atau tidak ditangkap tetap dianggap sebagai salah.

“Hitam tetap hitam (salah tetap salah), hitam tidak akan jadi putih. Kenyataan Noh Omar itu adalah cerminan tahap akhlak dan moral pemimpin BN yang begitu rendah dan sebab itu mereka sanggup mencuri RM2.6 bilion,” katanya kepada Roketkini.

Malah, katanya yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, kenyataan “tidak bermoral dan kurang cerdik” seumpama itu juga mencemarkan imej Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara.

Beliau turut menegur sikap Noh Omar yang dilihat tidak sensitif terhadap umat Islam apabila mengeluarkan kenyataan itu.

“Sama ada kamu ditangkap atau tidak (kerana mencuri) Allah tahu. (Jika) Kamu ada curi RM2.6 bilion, ingat Allah tak tahu ke? Allah tahu.

“Beza DAP dengan UMNO dan PAS – DAP adalah parti yang bermoral,” katanya.

Beliau menggesa ahli Parlimen khususnya pembangkang agar menjaga bahasa dan tingkah laku semasa berbahas di Dewan Rakyat bagi menjaga imej Parlimen.

“Jangan menjatuhkan maruah imej Parlimen dengan kenyataan-kenyataan kurang cerdik dan tidak bermoral,” tegasnya lagi.

No comments: