Anasir belakang tabir punca Putrajaya tarik diri Statut Rome
Putrajaya menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom untuk mengelak isu itu dieksploitasi oleh anasir di belakang tabir atau daulah terpendam (deep state), kata Khalid Abdul Samad.
“Kewujudan daulah terpendam bermakna isu-isu seperti ini akan dieksploitasi. Ada banyak isu yang kita perlu tangani dan tak perlu lagi kita biarkan perkara lain dieksploitasi.
“Ada isu untuk kita tangani, tak perlu tambah yang lain,” kata menteri Wilayah Persekutuan itu kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Rampasan kuasa boleh berlaku kerana “daulah terpendam” sedang menyerang kerajaan mengenai isu orang Melayu dan Raja-raja Melayu, katanya.
“Tak ada yang mustahil, terutamanya kalau 70% daripada penduduk adalah orang Melayu dan mereka cukup mudah terpengaruh bahawa kedudukan Melayu sekarang ini dalam bahaya.
“Pasukan polis dan tentera pun institusi berasaskan Melayu. Sebab itu kita perlu tangani isu ini dengan berhati-hati,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu.
Daulah terpendam merujuk kepada anasir belakang tabir dalam entiti kerajaan untuk mengawal daasar negara.
Memetik kerajaan Mohamed Morsi di Mesir yang digulingkan selepas setahun memerintah, Khalid berkata rampasan kuasa tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia.
“Rasa tidak selamat dan ketidakpastian dengan perubahan mendadak kerajaan selepas pilhan raya dijadikan modal oleh daulah terpendam ini. Mereka sepatutnya tak mudah dipengaruhi, tetapi ia berlaku.
Apabila berlaku perubahan kerajaan selepas sekian lama seperti yang berlaku di Malaysia, ada segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan perubahan ini, kata Khalid.
Katanya, kumpulan-kumpulan ini wujud dalam pentadbiran kerajaan.
“Kerabat-kerabat diraja dan ahli akademik mengeluarkan kenyataan menggambarkan Statut Rom membahayakan kedudukan Raja-raja Melayu. Kita ambil berat isu ini sebelum tandatangan Statut Rom.
“Kita hormat pandangan raja-raja dan ahli akademik tetapi saya fikir sudah sampai masanya rakyat buat keputusan berdasarkan fakta dan benarkan isu ini dibahaskan.”
Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata kerajaan terpaksa menarik diri meratifikasi Statut Rome kerana bimbang berlaku rampasan kuasa.