Anwar PM dari N. Sembilan bayangi kempen PRK Rantau
Media arus perdana meramalkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan akan menang mudah dalam PRK Rantau yang akan diadakan hujung minggu ini. Akhbar Sinar Harian pula telah mengeluarkan ulasan penganalisis politik bahawa Mohamad mendahului calon Pakatan Harapan dengan 52% sokongan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai menolak ramalan BN akan menang mudah dalam PRK kali ini memandangkan jentera kempen di sana diketuai Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga merupakan bakal perdana menteri ke – 8 dari Negeri Sembilan.
Menurutnya, aura Anwar sebagai bakal PM mungkin mampu mengubah persepsi pengundi Melayu berbanding dalam beberapa siri PRK sebelum ini.
“Saya berpendapat peluang calon PKR, Dr. S. Streram tidak boleh diremehkan dengan sahaja kerana Kerajaan Negeri di bawah pimpinan PH. Kekuatan Dr. Streram walaupun bukan calon yang terkenal, bergantung kepada kekuatan PKR di peringkat negeri serta kempen Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 pada tahun depan.
“Faktor yang amat penting di sini dan saya harap para pengundi akan memberi perhatian kepada faktor tersebut ialah calon PKR ini adalah seorang yang bersih, telus, adil dan berwibawa.
“Kemenangan yang diberi kepada Dr. Streram akan membolehkan Rantau menikmati banyak kemudahan dan pembangunan apabila semua urusan pentadbiran akan dipermudahkan diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Walau bagaimanapun, Chan bersetuju cabaran dari Umno dan Pas yang menggunakan isu perkauman memberi cabaran sengit kepada Pakatan Harapan kerana masyarakat Melayu mudah melatah apabila ‘dicucuk’ isu perkauman.
“Strategi PKR patut menghala kepada meyakinkan orang Melayu bahawa hak Melayu tidak pernah hilang di bawah Kerajaan PH dan akan terus dijaga seperti yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sementara mesej kepada pengundi-pengundi Cina dan India ialah Kerajaan PH akan berlaku adil kepada semua dan hak semua rakyat adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan ini, pendirian kita adalah konsisten dan tidak ada yang bercanggah,” kata Chan lagi.
Selain itu, Chan juga menegaskan puak-puak rasis tidak kira siapa jua wajar dikenakan tindakan serius dan segera oleh pihak berkuasa kerana api sentimen perkauman yang sudah dinyalakan boleh memusnahkan negara serta semangat perpaduan di antara kaum.