| Harakahdaily |
| KUALA LUMPUR, 1 Feb: Selepas perhimpunan secara kecil-kecilan di depan kedutaan Mesir semalam, PAS bersama 71 NGO dan parti politik akan berhimpun di kedutaan Amerika pula selepas solat Jumaat, 4 Februari ini. Ini kerana, mereka menganggap Amerika adalah sekutu rapat kepada regim Husni Mubarak yang sedang dihalau keluar oleh rakyat Mesir sekarang. Menurut Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi dalam satu kenyataannya berkata, perhimpunan kali ini akan dibuat secara besar-besaran. Selain Amerika, mereka juga mensasarkan kerajaan Malaysia apabila menaikkan lagi harga minyak Ron 97 sebanyak 10 sen lagi kepada RM2.30. Menurut sumber kenaikan ini amat melampau dan mencekik pengguna di Malaysia kerana harga kosnya tidak setinggi itu. "Harga Kos minyak Ron97 pada masa ini(semasa kenaikan minyak) adalah RM2.03 sahaja. Harga dijual oleh pengeluar minyak kepada pengusaha adalah RM2.3856. Harga Jual pula adalah pada harga RM2.50," kata satu sumber. Ini bererti satu keuntungan yang berganda telah diambil oleh pengusaha yang dipercayai ada melibatkan keuntungan untuk pihak-pihak yang berkepentingan. Kenaikan ini disifatkan sebagai hadiah untuk pengundi Tenang kerana telah memberikan kemenangan kepada BN dalam pilihan raya kecil Ahad baru-baru ini. "Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri juga diminta untuk mengerahkan semua anak - anak muda bangkit menyatakan semangat kebersamaan kita disamping kita turut akan menyatakan bantahan kenaikan harga minyak dan harga barang yang semakin menjadi - jadi dalam negara kita," kata Nasrudin dalam kenyataannya. Tempat berhimpun ialah di dua lokasi iaitu Masjid KLCC dan Masjid Tabung Haji dan sejurus solat Jumaat, semua akan berhimpun di Masjid Tabung Haji untuk menyatakan dua bantahan itu. Timbalan Presiden PAS dan Tuan Hj Mohd Sabu AJK PAS Pusat dan pimpinan - pimpinan pemuda PAS dijangka akan memimpin perhimpunan ini. "Pertama, isu penangkapan, kekerasan dan pembantaian regim Mesir ke atas rakyat mesir yang menuntut perubahan di negara mereka. "Kedua, isu kenaikan harga minyak dan barang keperluan utama rakyat dalam negara kita," katanya dalam kenyataan itu. Antara 71 pertubuhan yang turut serta dalam perhimpunan ini adalah ILMAM, Ikram, JIM, GMI, SAMM dan lain - lain ] termasuk kompenan parti politik Pakatan Rakyat seperti AMK dan lain-lain. |
LABIS, 28 Jan — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan Datuk Seri Najib Razak tiada sebarang kaitan dengan laporan CNN bahawa beliau meminta Arab Saudi menyiasat pembiayaan dana pilihan raya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Hishammuddin berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa agar menyiasat dakwaan bahawa Anwar ada kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.
“Ia tiada kaitan dengan Najib. Itu hanya satu laporan CNN mengaitkan beliau dengan sebuah pertubuhan pengganas,” kata Hishammuddin kepada pemberita di sini.
“Saya telah meminta pasukan khas (anti) pengganas dan saya telah meminta Cawangan Khas, dan mereka berhubung dengan (agensi) risikan Saudi untuk mengetahui sejauh mana Anwar Ibrahim dikaitkan dengan kumpulan pengganas ini,” kata beliau di sini petang ini.
Hishammuddin menambah kementeriannya melihat isu itu dengan serius memandangkan ia melibatkan keselamatan negara.
“Ini bukan isu politik. Ini adalah isu keselamatan, suka atau tidak kita mesti mengambil serius perkara ini,” kata beliau.
Najib yang ditemui pemberita di Putrajaya tengah hari tadi enggan mengulas isu itu dengan hanya berkata, “itu siasatan Saudi”.
Dalam ulasan pagi tadi, Anwar mendakwa laporan CNN menyerlahkan “ketakutan dan rekayasa” Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.
Dalam pendiriannya yang tegas, Anwar berkata beliau tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri yang juga presiden Umno sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmahnya.
Laporan CNN itu muncul ketika tinggal tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang dan di tengah-tengah spekulasi negara bakal menyaksikan pilihan raya umum ke-13.
Dakwaan itu dilihat sebagai yang paling keras daripada Najib ke atas Anwar sejak menjadi perdana menteri keenam pada April 2009.
Satu laporan risikan Saudi berkata tiada bukti mana-mana pegawai negara itu membiayai Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat, tetapi mengesan sebuah pertubuhan fundamentalis Islam yang ada hubungan dengan pemimpin pembangkang telah memanfaatkan rangkaian Al-Qaeda menerusi sokongan ahli-ahli politik negara-negara Islam.
CNN juga menamakan satu siasatan sulit telah dijalankan ekoran aduan Najib bahawa Saudi membiayai Anwar menjelang pilihan raya umum ke-13.
Malah rangkaian itu juga mendakwa pihak berkuasa Malaysia telah mengesyaki dua pegawai kanan kerabat diraja Saudi terlibat dalam pembiayaan kepada Anwar dan ini menyebabkan Riyadh memulakan siasatan sulit.
Laporan siasatan itu memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan pegawai-pegawai Saudi terlibat menyokong Anwar, yang bulan lalu digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan.
Sebelum ini Anwar dilabelkan oleh Umno sebagai ejen Yahudi.
“Dakwaan sokongan daripada keluarga raja Saudi yang dinamakan dalam laporan awal didapati tidak berasas,” kata laporan CNN lagi.
“Laporan CNN yang baru sahaja beredar beberapa jam lalu menyebut antara lainnya, Presiden Umno itu menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada kerajaan Arab Saudi kerana terdapat dua Putera Arab Saudi yang menyokong dan membiyai saya untuk pilihan raya umum yang akan datang,” kata Anwar lagi.
Anwar menambah gerakan politik Pakatan Rakyat setiap hari berusaha membina dokongan rakyat terhadap usaha kami demi menyelamatkan Malaysia dari segala kepincangan yang disebabkan oleh kelemahan mentadbir pimpinan negara serta ketirisan akibat dari rasuah yang semakin membarah.
Harapan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti besar — sekurang-sekurangnya 5,000 undi — agak mustahil ekoran kempen DAP yang mula mendapat sambutan luar biasa.