Kenapa lepaskan nyamuk GM tanpa makluman - PAS Pahang

Harakahdaily

TEMERLOH, 28 Jan: PAS Pahang menyelar tindakan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang membenarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melepaskan 6,000 nyamuk Aedes Aegypti jantan bebas kuman jenis OX513A yang diubah suai secara genetik (GM) ke satu kawasan Bentong secara senyap-senyap.

“Rakyat dikejutkan dengan berita pelepasan nyamuk Aedes GM di Kawasan Bentong, Pahang sebagaimana yang didedahkan melalui akhbar harian pada Januari0 2011.

"Lebih mengejutkan berita tersebut dikeluarkan setelah pihak kementerian selesai melakukan pelepasan pada 21 hb Desember 2010,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily.

Menurut laporan, IMR telah melepaskan 6000 nyamuk GM di satu kawasan hutan tanpa penghuni berhampiran Bentong pada 21 Dis lalu bertujuan untuk mengkaji penyebaran dan tempoh hayat nyamuk berkenaan di lapangan.

Ia juga melibatkan nyamuk serupa daripada jenis liar dilepaskan di kawasan itu untuk tujuan perbandingan.

“Ujikaji itu selesai pada 5 Januari. Proses pengasapan dibuat pada 6 Januari untuk membasmi semua nyamuk berkenaan dan pemantauan akan diterus dibuat hingga dua bulan jika perlu,” IMR dipetik sebagai berkata.

IMR juga seolah-olah ingin menyakinkan rakyat bahawa proses penyelidikan itu 100 peratus selamat dengan memberi jaminan bahawa tiada pelepasan baru dirancang sehinggalah tempoh pemantauan pasca percubaan selesai dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim bertegas bahawa walaupun IMR menyatakan bahawa nyamuk tersebut dilepaskan di kawasan tiada penduduk, namun ia bukan alasan untuk pihak kementerian melakukannya tanpa memberikan gambaran yang jelas terutamanya kepada penduduk di kawasan Bentong.

“Isu nyamuk GM Aedes yang menimbulkan kebimbangan dan kritikan masyarakat antarabangsa, sepatutnya rakyat mesti dimaklumkan dan pihak kementerian mesti bertangungjawab sepenuhnya terhadap imlikasi pelepasan tersebut,” ujar Tuan Ibrahim, yang juga Naib Presiden PAS.

Tuan Ibrahim juga memberitahu bahawa satu surat rasmi akan dikeluarkan pada masa yang terdekat untuk mendesak kementerian yang bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan penuh mengenai kejadian tersebut yang telah menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk Bentong.

Sementara itu, pihak Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam satu kenyataan bersama mengatakan bahawa mereka amat terkejut dengan berita bahawa nyamuk GM telahpun dilepaskan pada 21 Disember yang lepas.

“Berita tersebut bertentangan dengan kenyataan akhbar pada Januari 2011 oleh pegawai senior daripada jabatan Biosafety bahawa penyelidikan telah ditangguhkan kerana cuaca buruk,” tambah mereka.

CAP dan SAM turut melahirkan rasa kesal terhadap ketelusan IMR dalam isu ini kerana mereka hanya mengeluarkan kenyataan selepas sebulan lebih selepas proses penyelidikan dijalankan.

“Kita mengutuk cara senyap-senyap penyelidikan ini diadakan. Tindak-tanduk sedemikian tidak akan menyelesaikan masalah kebimbangan dan ketakutan rakyat,” kata CAP dan SAM, sambil menambah bahawa semua agensi yang terlibat perlu bertanggungjawab terhadap sebarang akibat daripada pelepasan nyamuk GM ini.

No comments: