KHIANAT ORANG MELAYU KERANA BEZA POLITIK

 


Tindakan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mengambil pendirian berkecuali ketika pengundian Belanjawan Selangor 2027 dipersoalkan selepas isu banjir menjadi antara perkara utama dibangkitkan dalam perbahasan minggu lalu.






ADUN Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, hampir kesemua ADUN kerajaan dan pembangkang membangkitkan isu banjir ketika membahaskan belanjawan berkenaan, namun tujuh wakil rakyat memilih untuk berkecuali ketika pengundian belah bahagi.


Menurutnya, Belanjawan Selangor 2027 memperuntukkan peningkatan dana pembangunan infrastruktur, khususnya bagi menangani masalah banjir yang dihadapi rakyat negeri itu.


“Malangnya ada tujuh orang yang berbahas berdegar-degar, berapi-api itu dan ini, tetapi bila nak buat undi belah bahagi, mereka bersikap berkecuali,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.


Turut hadir ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid; ADUN Meru, Mariam Abdul Rashid dan ADUN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.


Abbas berkata, beliau telah mengemukakan surat kepada Speaker Dewan Negeri Selangor semalam bagi mendapatkan penjelasan berhubung rekod tujuh ADUN yang mengambil pendirian berkecuali itu.


Menurutnya, berdasarkan surat maklum balas daripada pejabat Speaker, tujuh wakil rakyat terbabit ialah;


ADN Paya Jaras - PAS 

ADN Sijangkang - PAS

ADN Sungai Ramal - PAS

ADN Sabak - PAS

ADN Semenyih - PAS

ADN Ijok - PAS

ADN Hulu Bernam - PAS


Beliau turut menyatakan terdapat dalam kalangan ADUN pembangkang yang menyokong belanjawan berkenaan, sekali gus menunjukkan perbezaan pendirian dalam blok pembangkang ketika pengundian berlangsung.


Abbas menegaskan pendedahan tersebut bukan bertujuan memalukan mana-mana wakil rakyat atau menyekat amalan demokrasi, sebaliknya mahu rakyat mengetahui pendirian ADUN masing-masing.


Katanya, Menteri Besar Selangor turut menyatakan komitmen untuk turun ke kawasan yang terjejas akibat banjir, termasuk kawasan yang diwakili ADUN pembangkang.


“Ini bukan belanjawan politik, ini belanjawan rakyat, ini belanjawan untuk negeri Selangor,” tegasnya.


Sementara itu, Mariam berkata, Belanjawan Selangor 2027 bukan sahaja melibatkan peruntukan pembangunan, malah merangkumi perbelanjaan pengurusan termasuk pembayaran gaji, elaun dan bonus kakitangan awam.


Beliau menyifatkan tindakan tujuh ADUN berkenaan mengambil pendirian berkecuali sebagai tidak adil memandangkan belanjawan tersebut turut melibatkan kebajikan dan kepentingan penjawat awam.


Abbas berharap semua wakil rakyat mengetepikan perbezaan ideologi politik ketika berhadapan dengan bencana serta memberikan keutamaan kepada usaha menyelesaikan permasalahan rakyat.




No comments: