Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Kerajaan Perpaduan sukar bertahan dalam jangka panjang sekiranya parti-parti yang bekerjasama di peringkat Persekutuan terus bersaing sesama sendiri dalam pilihan raya negeri.
Beliau berkata, kerjasama politik yang mahu dikekalkan di Putrajaya perlu turut melibatkan keselarasan antara parti-parti gabungan di peringkat negeri.
Ketika menjadi tetamu dalam podcast Ngopi Dengan Zafrul yang dikendalikan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, Anthony loke berpendapat untuk sebuah gabungan sebenar menjadi mampan di peringkat persekutuan, ia mesti mampu merentasi negeri-negeri, kerana pada akhirnya negeri-negeri yang akan membentuk Persekutuan
“Saya tidak fikir keadaan ini mampan. Untuk sesebuah gabungan sebenar kekal mampan di peringkat Persekutuan, ia mesti mampu merentasi negeri-negeri juga,” katanya.
Beliau berkata, risiko pertembungan antara parti yang bekerjasama dalam kerajaan pernah dibangkitkan kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2022.
Menurutnya, kejatuhan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan penggantinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjadi antara pengajaran yang perlu diberi perhatian.
Loke berkata, kedua-dua pentadbiran itu berakhir selepas rakan gabungan di peringkat Persekutuan bertembung dalam pilihan raya negeri Sabah, Melaka dan Johor.
Beliau berkata, sejak awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, beliau sudah menggesa supaya pertembungan pelbagai penjuru antara parti yang menjadi rakan kerajaan dielakkan.
“Saya telah memberi amaran kepada Saifuddin sejak awal supaya tidak berlaku pertembungan pelbagai penjuru antara rakan gabungan dalam kerajaan Persekutuan,” katanya.
Loke berkata, keadaan apabila parti-parti bekerjasama di Putrajaya tetapi menjadi pesaing di peringkat negeri juga boleh mengelirukan pengundi, khususnya dalam menentukan pihak yang wajar menerima pengiktirafan atas pencapaian kerajaan.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengelakkan pertembungan sedemikian sepanjang tiga tahun pertama pentadbirannya, termasuk dalam enam pilihan raya negeri apabila PH dan Barisan Nasional (BN) bertanding sebagai rakan kerjasama.

No comments:
Post a Comment