"RUPANYA TRUMP PERNAH PERSOALKAN HUBUNGAN MALAYSIA DENGAN CHINA DALAM KERETA PRESIDENNYA! INI JAWAPAN PMX!"











Ingat lagi tak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tumpang kereta rasmi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump masa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur tahun lepas?


Kejadian tu berlaku pada 26 Oktober 2025. Waktu tu, Trump ajak Perdana Menteri kita naik sekali dalam limosin kebanggaannya yang digelar The Beast untuk perjalanan dari KLIA ke pusat bandar Kuala Lumpur.


Ramai jugalah yang tertanya-tanya masa tu, apalah agaknya yang dibualkan dua pemimpin ni sepanjang 40 minit duduk dalam kereta tu.


Genap setahun lebih berlalu, barulah ceritanya keluar. Menerusi wawancara eksklusif bersama South China Morning Post yang disiarkan semalam, 24 November 2026, PMX mendedahkan antara perkara yang sempat dibangkitkan oleh Trump dalam kereta tu.


Rupa-rupanya, Trump menyuarakan pandangan bahawa Malaysia ni nampak macam condong kepada China!


Jawapan Perdana Menteri kita sebenarnya cukup mudah. Beliau jelaskan kepada Trump bahawa Malaysia tak perlu pun nak condong kepada mana-mana pihak.


China tu jiran serantau kita sendiri yang berkongsi perairan yang sama, malah hubungan antara masyarakat kedua-dua wilayah dah terjalin sejak berabad-abad dulu lagi.


Dalam masa yang sama, beliau turut ingatkan Trump balik tentang nilai perdagangan dan pelaburan Amerika yang besar di Malaysia.


Kalau kita fikir-fikir balik, apa yang PMX sebut tu ada asas yang sangat nyata. Cuba buka peta dunia.


Amerika terletak jauh di seberang Lautan Pasifik, manakala Malaysia dengan China memang sama-sama menghadap Laut China Selatan.


Pentadbiran Amerika boleh bertukar ganti setiap kali pilihan raya presiden mereka berlangsung, tapi kedudukan negara kita atas peta takkan berubah ke mana.


Sesiapa pun yang duduk di kerusi Perdana Menteri Malaysia selepas ini, mahu atau tidak, tetap kena berurusan dengan Beijing.


Realiti geopolitik inilah yang Tun Abdul Razak dah baca sejak lebih 50 tahun dulu lagi.


Bayangkan, ketika Malaysia sendiri masih berdepan ancaman pemberontakan komunis, beliau tetap terbang ke Beijing dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China pada 31 Mei 1974.


Perbezaan ideologi langsung tak menghalang kedua-dua negara daripada berurusan atas prinsip saling menghormati kedaulatan dan kepentingan bersama.


Hasil keputusan setengah abad dulu tulah yang kita tengok berkembang sampai hari ini. Mengikut angka Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai dagangan Malaysia dengan China pada tahun 2025 saja dah mencecah RM542.2 bilion.


Dah 17 tahun berturut-turut China kekal jadi rakan dagang terbesar kita. Amerika pula jangan dipandang kecil, dengan nilai RM365.8 bilion pada tahun yang sama, mereka merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia!


Dalam kajian hubungan antarabangsa, cara menguruskan risiko persaingan kuasa besar dengan mempelbagaikan hubungan strategik macam ni dipanggil hedging.


Senang cerita, kita tak letak semua harapan pada satu pihak semata-mata. Malaysia jaga hubungan ekonomi yang besar dengan China, manakala kerjasama pertahanan dan keselamatan bersama Amerika pula membantu mengimbangi risiko persaingan kuasa di rantau ini.


Cuma hubungan baik dengan Beijing tak bermakna Malaysia kena akur dengan tuntutan China di Laut China Selatan. Hak kedaulatan kita terhadap sumber dalam zon ekonomi eksklusif negara tetap dipertahankan mengikut undang-undang antarabangsa.


Begitu jugalah bila kita berdepan dengan Amerika. Kalau masih ingat pendedahan Perdana Menteri pada 28 Oktober 2025 dulu, dalam perjalanan menaiki The Beast yang sama tulah beliau turut membangkitkan isu Gaza secara langsung kepada Trump.


Begitulah rupa sebenar seni diplomasi. Negara yang jadi rakan dagang terbesar kita boleh jadi pihak yang sama kita berselisih dalam soal perairan.


Negara yang berbeza pendirian dengan kita tentang Palestin pula boleh jadi pasaran yang sangat penting untuk industri semikonduktor tempatan.


Sebab itu cabaran sebenar Malaysia ialah bagaimana nak menguruskan semua hubungan rumit ini tanpa kehilangan kebebasan menentukan dasar sendiri.


Lagi sengit persaingan antara Washington dengan Beijing, lagi mencabar tugas itu kerana kedua-dua kuasa besar tersebut ada keupayaan menggunakan perdagangan, teknologi dan pengaruh ketenteraan demi kepentingan masing-masing.


Esok lusa, Presiden Amerika akan datang dan pergi, pemimpin China pun sama. Namun Malaysia akan tetap kekal di persimpangan laluan perdagangan dunia.


Kita memang tak boleh memilih geografi tempat negara kita berada, tapi kitalah yang menentukan bagaimana kedudukan geografi itu dimanfaatkan demi menjaga kepentingan generasi akan datang!


Sejak zaman dahulu lagi, kebijaksanaan membaca percaturan kuasa luar memang sudah menjadi bekalan penting buat orang-orang kita di Nusantara yang merentas samudera dan berhadapan dengan kerajaan asing.


Kalau nak hayati dunia pengembaraan maritim Melayu, jemputlah dapatkan novel pertama saya, Hikayat Samudera Sakti, terbitan Mahakarya.


Boleh dapatkannya di Shopee:

https://s.shopee.com.my/6q2XlyVmfm




No comments: