GEDEBE DAH KENA TANGKAP!



 Zainuddin Omar





Lelaki yang memukul atau menyiku pakcik warga emas itu kita panggil gedebe. Kononnya berani, tetapi sanggup menjadikan seorang warga emas sebagai mangsa.
Menurut laporan, tiga lelaki tempatan berusia antara 39 hingga 44 tahun telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes memukul seorang warga emas berusia 62 tahun di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Kejadian dipercayai bermula apabila sebuah Perodua Alza melanggar bahagian belakang kereta Skoda yang dipandu isteri mangsa. Pakcik tersebut keluar untuk memeriksa kerosakan kenderaan, tetapi dipercayai diserang sehingga mengalami kecederaan pada muka, hidung dan mulut.
Video kejadian yang tular di media sosial jelas memperlihatkan aksi ganas seorang lelaki yang menomoi pakcik tersebut, termasuk menggunakan siku. Ini bukan lagi soal kemalangan kecil, tetapi soal hilang pertimbangan dan hilang rasa hormat terhadap orang tua.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.
Kepada kamu bertiga, kalau benar-benar terlibat memukul pakcik tersebut, maka bersedialah menanggung akibat perbuatan sendiri. Berpuasalah dan berayalah kamu dalam lokap! Jangan ingat tindakan ganas di jalan raya itu boleh selesai dengan sekadar meminta maaf.
Namun, kepada dua orang kawan yang turut berada di tempat kejadian, jika kalian tidak menyentuh atau menyerang pakcik itu, jangan pula bersubahat melindungi gedebe. Jadilah saksi polis dan ceritakan perkara sebenar.
Jangan kerana setia kawan, kamu pula ikut menanggung akibat. Kalau tak mahu ikut gedebe berpuasa dan beraya di dalam lokap, beranilah tampil membantu siasatan.
Kawan tetap kawan, tetapi jangan sampai kawan buat salah, kita pula ikut menanggung akibat.
Pakcik itu bukan lawan di gelanggang tomoi. Dia seorang warga emas yang berhak dihormati, bukannya dijadikan tempat melepaskan amarah.
Gedebe mungkin sudah kena tangkap. Jangan pula dua orang lagi ikut sama masuk lokap hanya kerana memilih untuk melindungi kawan!




No comments: