
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya pada 23 Oktober 2026. Foto Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 23 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan berkaitan mafia korporat akan membincangkan kerangka terma rujukan siasatan dan bakal dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu hadapan.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, hari ini.

Ini juga selaras dengan penjelasan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa lepas bahawa hasil siasatan akan dimaklumkan dalam tempoh tiga bulan selepas ianya selesai.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa dalam isu mafia korporat, kerangka terma rujukan bagi pasukan khas yang akan menyiasat dakwaan berhubung isu tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan.

“Dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa seperti yang disebut dalam sidang Parlimen sewaktu PMQT pada hari Selasa lalu, hasil siasatan akan didedahkan dalam tempoh tiga bulan selepas siasatan tersebut selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di Menara Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Isu berkenaan timbul setelah beberapa dakwaan dilakukan pihak tertentu kononnya ada pihak melindungi kegiatan korporat termasuk jenayah.
No comments:
Post a Comment