𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔
23 Oktober 2026
𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗦𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗠𝗔𝗡𝗔𝗡: 𝗞𝗘𝗦 𝗗𝗜𝗞𝗘𝗡𝗗𝗔𝗟𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗦𝗨𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗚𝗨𝗔𝗠
Ekoran dari satu sidang media yang dibuat oleh R Ramanan, Naib Presiden PKR dan Menteri Sumber Manusia semalam, saya telah menyerahkan video dan transkrip kepada pasukan peguam.
Sidang media itu mengesahkan bahawa R Ramanan tidak pernah mengambil tindakan mahkamah berhubung kenyataan saya yang menamakan beliau sebagai ahli parlimen PKR yang mengambil suapan RM9.5 juta untuk menyelesaikan kes mafia korporat.
R Ramanan juga mengulangi bahawa beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang mengenai kenyataan itu, berbeza dengan cabaran beliau untuk menyaman sesiapa yang mengaitkan beliau, seperti di dalam satu sidang media terdahulu.
Sidang media R Ramanan mengesahkan bahawa kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen minggu ini, kononnya R Ramanan telah mengambil tindakan mahkamah, adalah tidak benar.
Saya serahkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk mengambil tindakan seterusnya, iaitu merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk diambil tindakan kerana membuat kenyataan yang tidak benar di Parlimen.
Dalam sidang media semalam, R Ramanan membuat pelbagai tohmahan terhadap saya, termasuk menuduh saya terlibat di dalam rasuah.
Saya telah berbincang dengan pasukan peguam saya dan mereka berpendapat ada asas kukuh untuk memulakan tindakan saman terhadap R Ramanan, kerana kenyataan-kenyataan dalam sidang media itu telah melanggar garis-garis yang ditetapkan oleh undang-undang fitnah di negara ini.
Oleh itu, saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan proses saman terhadap R Ramanan.
Tindakan ini juga tepat memandangkan R Ramanan terus mengelak dari menjawab beberapa tuduhan mengenai beliau dan rasuah.
Jika R Ramanan enggan mengambil tindakan saman terhadap saya, akibat dari sidang media beliau semalam, ia membuka jalan untuk saya mengheret beliau ke mahkamah susulan tohmahan-tohmahan yang dibuat terhadap saya.
Bagi pihak BERSAMA
𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗟𝗜

No comments:
Post a Comment