
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya pada 23 Oktober 2026. Foto Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 27 Okt – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melakukan siasatan bagaimana penstriman langsung kejadian seorang pelajar berusia 16 tahun menyerang guru di sebuah sekolah swasta di Kuching, kelmarin, tidak disedari pengendali platform media sosial.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada masa yang sesuai.
“Buat masa ini, MCMC sedang menyiasat isu berkenaan. Jika kita ingat kembali, sebelum ini terdapat beberapa kejadian di negara lain apabila platform gagal menghalang tindakan keganasan daripada disiarkan secara langsung.

“Kita serahkan kepada MCMC untuk menjalankan siasatan dan mengeluarkan kenyataan pada masa yang sesuai,” katanya pada sidang media mingguan pasca-kabinet, hari ini.
Fahmi ditanya sama ada kerajaan meminta Meta memberikan penjelasan berhubung kegagalan Facebook mengesan atau menghentikan siaran langsung itu sebaik ia bermula.
Beliau turut ditanya sama ada Malaysia akan mengambil tindakan lebih tegas, termasuk dari aspek keselamatan, bagi menghalang jenayah ganas daripada disiarkan secara langsung.

Dalam kejadian jam 8.03 pagi kelmarin, seorang guru wanita di sekolah berkenaan mengalami kecederaan pada tangan.
Maklumat awal mendapati pelajar itu membawa mercun ke sekolah sebelum dipercayai menyerang guru terbabit menggunakan kapak.
Pelajar terbabit masih dirawat di hospital ketika siasatan dijalankan.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, polis sedang menjalankan siasatan terhadap suspek dengan mengambil kira keadaan kesihatannya serta nasihat pegawai perubatan.
No comments:
Post a Comment