Taki anggap Bersatu ‘bukan ahli PN secara teknikal, Tun Faisal jawab ikut isu terdahulu Pas pun boleh terkeluar?

 


Pertikaian mengenai kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) kini berkembang kepada persoalan lebih besar mengenai cara gabungan itu mentafsir peraturan sendiri, khususnya selepas kenyataan bahawa Bersatu masih anggota dari segi undang-undang tetapi bukan anggota “secara teknikal”.

Kenyataan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu dipersoalkan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang melihat istilah berkenaan sebagai sesuatu yang perlu dijelaskan dari sudut Perlembagaan PN.

Menurut Tun Faisal, kenyataan tersebut secara tidak langsung menimbulkan gambaran bahawa kedudukan Bersatu dalam PN dan pentadbiran gabungan itu tidak diuruskan berdasarkan Perlembagaan PN, sebaliknya bergantung kepada tafsiran politik pimpinan Pas.

Persoalan utama yang dibangkitkannya ialah sama ada Pas selaku pengerusi PN mempunyai kuasa untuk menggunakan tafsiran “secara teknikal” bagi mengetepikan hak sebuah parti yang masih diiktiraf sebagai anggota gabungan.

“Jika benar begitu, apakah peruntukan Perlembagaan atau undang-undang yang digunakan untuk ‘secara teknikalnya’ tidak menjemput Bersatu menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN dan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN sebelum PRN Negeri Sembilan?” katanya dalam satu kenyataan. Namun, Tun Faisal kemudian mengembalikan persoalan itu kepada Pas.

Katanya, jika istilah “secara teknikal” boleh digunakan untuk menentukan bahawa sesebuah parti tidak lagi mempunyai hak tertentu dalam PN, timbul persoalan sama ada Pas sendiri boleh dianggap terkeluar daripada gabungan itu sekiranya tindakannya bercanggah dengan keputusan atau peraturan PN.

Beliau mendakwa Pas pernah mengadakan rundingan secara belakang tabir dengan pihak luar tanpa mandat dan pengetahuan PN dalam beberapa isu tertentu, termasuk ketika Langkah Bangkok serta sebelum pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

“Begitu juga, bolehkah Pas dianggap ‘secara teknikal’ bukan lagi anggota PN apabila Presiden Pas bertindak bertentangan dengan keputusan-keputusan Majlis Tertinggi PN, termasuk dalam soal Ketua Pembangkang?” katanya.

Menurut Tun Faisal, persoalan berkenaan bukan semata-mata mengenai kedudukan Bersatu dalam mesyuarat tertentu, sebaliknya menyentuh soal tadbir urus dan pematuhan Perlembagaan PN.

Beliau berkata sekiranya setiap tindakan dalam PN boleh ditentukan melalui tafsiran politik mana-mana parti, ia boleh menimbulkan persoalan mengenai fungsi sebenar Perlembagaan gabungan tersebut.

“Ini antara masalah utama dalam PN, iaitu apabila tindakan dan keputusan yang dibuat bukan berdasarkan Perlembagaan PN tapi tafsiran politik Pas,” katanya.

Sehubungan itu, Tun Faisal menggesa Pas supaya tidak menggunakan istilah “secara teknikal” bagi mewajarkan tindakan yang didakwanya bertentangan dengan Perlembagaan PN.

Pertikaian terbaru itu sekali gus memperlihatkan satu lagi lapisan ketegangan dalam hubungan antara Bersatu dan Pas, khususnya mengenai siapa yang mempunyai kuasa menentukan hak dan kedudukan parti-parti anggota dalam PN.



No comments: