KERETA RUSIA MILIK YDPA CURI TUMPUAN, INI TEKNOLOGI DI SEBALIK AURUS SENAT!"

 "









Pagi Hari Kebangsaan ke-69 dekat Dataran Putrajaya memang penuh dengan macam-macam aset yang buat mata kita juling nak tengok. Tapi sebelum perbarisan betul-betul bermula, ada satu benda lain yang dah awal-awal curi tumpuan. Sebuah limosin hitam dengan jeriji depan yang sangat besar.


Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat tiba dengan menaiki sebuah Aurus Senat.


Dari jauh, bentuk dia mungkin akan buat orang terus teringat pada Rolls-Royce. Tapi hakikatnya, inilah "jawapan" Rusia kepada deretan kereta rasmi buatan Barat yang dah sekian lama mengangkut pemimpin dunia.


Dekat media sosial, laju saja orang menaip beritahu kononnya kereta itu adalah hadiah peribadi daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin. Cerita yang kita memang boleh sahkan adalah, Aurus tersebut diserahkan kepada Sultan Ibrahim di Muzium Garaj Khas Moscow pada 10 Mei lepas. Waktu itu Baginda hadir sebagai tetamu kehormat untuk sambutan Hari Kemenangan.


Ada beberapa laporan yang sebut ia sebagai hadiah daripada Kerajaan Persekutuan Rusia. Tetapi hantaran rasmi Istana Negara sempena Hari Kebangsaan kelmarin pula dengan jelas menyatakan kenderaan itu "dibeli dari Rusia".


Yang pasti, kereta yang sangat jarang nak nampak menjalar dekat luar Rusia itu kini sudah jadi milik Seri Paduka Baginda. Pemilikannya sendiri disifatkan sebagai satu lambang hubungan diplomasi yang sangat erat antara kedua-dua buah negara.


Jadi, apa yang istimewa sangat tentang kereta hitam ni?


Dunia mula betul-betul kenal dengan nama Aurus Senat bila Presiden Vladimir Putin rasmi menggunakannya ketika upacara pelantikan pada 7 Mei 2018. Ia dibangunkan menerusi satu projek kereta rasmi Rusia yang dipimpin oleh institut penyelidikan automotif NAMI. Waktu itulah ia terus merampas tempat Mercedes-Benz yang dah sekian lama berbakti di Kremlin.


Rusia mahukan sebuah kereta pemimpin tertinggi yang bangga membawa jenamanya sendiri. Tapi mereka juga tak adalah semberono buat Aurus dengan menutup pintu terus daripada kepakaran luar.


Pembangunan enjin V8 kereta ini sebenarnya melibatkan pasukan antarabangsa, termasuklah Porsche Engineering. Kemudian barulah keseluruhan jentera itu dibentuk dan dipasang menjadi sebuah produk kebanggaan Rusia.


Di bawah bonetnya, senyap-senyap bersembunyi nadi petrol V8 4.4 liter dengan dua pengecas turbo yang digandingkan bersama sistem hibrid. Aurus menyatakan yang rangkaian kuasa ini mampu memerah sehingga 598 kuasa kuda dan tork setinggi 880 Newton meter. Tenaga itu kemudiannya disalurkan melalui kotak gear automatik sembilan kelajuan, terus kepada keempat-empat tayar.


Yang lebih menarik, Rusia bukan sekadar bangunkan sebuah kereta semata-mata. Mereka sebenarnya mencipta satu platform modular yang fleksibel. Platform ini boleh dipanjang dan diubah suai untuk melahirkan beberapa bentuk kenderaan berbeza. Antaranya termasuklah sedan biasa, versi jarak roda panjang, hinggalah ke limosin enam tempat duduk.


Untuk versi berperisainya pula, ia memang dicipta khas untuk kelompok manusia yang tak boleh ambil sebarang risiko.


Aurus dengan bangganya menyenaraikan ciri kapsul perlindungan, kaca balistik, dan tayar khas yang masih boleh bergolek laju walaupun hilang tekanan udara. Ia turut dilengkapi tangki bahan api terlindung, perisai letupan pada bahagian lantai dan bumbung, berserta sistem pemadam kebakaran bina dalam.


Saiznya pun memang bukan biasa-biasa. Model Senat Limousine berperisai yang disenaraikan oleh Aurus mempunyai panjang sehingga 6.63 meter dan berat sekitar 6.54 tan. Bayangkan, beratnya dah hampir menyamai sebuah lori. Tetapi ia masih mampu dibawa dengan lancar oleh enjin V8 hibrid yang sama.


Malah, pemilihan namanya turut dibuat berhati-hati untuk membawa imej gah Rusia.


"Aurum" membawa maksud emas di dalam bahasa Latin, sementara "Rus" pula sudah tentulah merujuk kepada Rusia. Gabungan dua perkataan itu akhirnya melahirkan Aurus. Satu jenama baharu yang berani pasang angan-angan untuk duduk semeja dengan Rolls-Royce dan Bentley, sambil membawa identiti negaranya sendiri.


Sebab itulah kemunculannya dekat Putrajaya kali ini terasa sangat lain. Di tengah-tengah lautan kibaran Jalur Gemilang, sebuah model eksklusif yang diperkenalkan kepada dunia melalui pintu Kremlin kini meluncur gagah di hadapan rakyat Malaysia dengan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di dalamnya.


Di mata orang ramai, mereka mungkin cuma nampak sebuah limosin hitam yang sangat mahal. Tetapi di sebalik jeriji besarnya, kereta itu sebenarnya sedang menceritakan tentang kuasa, teknologi, dan bagaimana sesebuah negara mahu dilihat oleh seluruh dunia.


Melihat Aurus meluncur masuk ke Dataran Putrajaya, saya terfikir juga, mudah-mudahan satu hari nanti Proton mampu menghasilkan sebuah limosin rasmi khas untuk Yang di-Pertuan Agong, lengkap dengan teknologi tempatan dan lambang Proton terpampang megah di hadapannya.


Biar dunia pula tertanya-tanya, kereta hitam gagah dari Malaysia itu dibuat oleh siapa. Rusia sudah lama memahami bahawa sebuah kereta rasmi boleh menjadi lambang kekuatan negara. Proton, kalau berani, buatlah satu. 


Kalau sebuah kereta sahaja sudah cukup menunjukkan bagaimana Rusia mahu dilihat oleh dunia, tentu lebih menarik untuk mengenali lelaki yang membentuk wajah negara itu selama lebih dua dekad. Buku “Putin: Tsar Moden Rusia” karya Ahmad Faezal membawa pembaca menelusuri sejarah Rusia serta perjalanan Vladimir Putin daripada dunia KGB dan era Boris Yeltsin hingga muncul sebagai pemimpin yang begitu kuat mencengkam politik negaranya. Dapatkan naskhah ini di Shopee: https://s.shopee.com.my/qj8Gh3rCj





No comments: