Siasatan terhadap penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) terus berkembang apabila seorang lagi bekas menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Individu lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang selepas hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan berkenaan memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Beliau akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok,” katanya menerusi laman sosial TikTok SPRM hari ini.
Penahanan terbaharu itu menjadikan siasatan SPRM terhadap penemuan RCI TH terus mendapat perhatian, selepas beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan pengurusan serta pentadbiran institusi itu sebelum ini dipanggil untuk memberikan keterangan.
Pada 26 Ogos lalu, SPRM menahan seorang bekas pengerusi TH dan seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, kedua-duanya lelaki berusia lingkungan 60-an, bagi membantu siasatan berkaitan dapatan RCI tersebut.
Sebelum itu, SPRM turut memanggil beberapa individu termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, bekas CEO sebuah syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH untuk membantu siasatan.
Laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu antara lain menemukan kelemahan tadbir urus, campur tangan politik serta isu berkaitan keputusan kewangan dan pelaburan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Suruhanjaya itu turut mengesyorkan audit forensik terhadap beberapa pelaburan bermasalah selain tindakan susulan terhadap laporan atau aduan mengenai kemungkinan berlaku salah laku. RCI juga mencadangkan pembaharuan bagi mengelakkan ahli politik aktif memegang jawatan kepimpinan dalam TH dan anak syarikatnya.
Penemuan berkenaan kemudiannya membawa kepada arahan supaya agensi penguat kuasaan menyambung semula siasatan berdasarkan perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI, dengan mereka yang didapati melanggar undang-undang dikenakan tindakan sewajarnya.
No comments:
Post a Comment