Satu lagi kejayaan besar PETRONAS, berjaya muktamad pelaburan CA$33 bilion di Kanada

 




Satu lagi pencapaian membanggakan PETRONAS di pentas antarabangsa apabila syarikat minyak dan gas nasional itu bersama rakan usaha samanya berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkenaan membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion, sekali gus menjadi perkembangan penting bagi projek pembesaran kemudahan gas asli cecair berkenaan.

Menurut Anwar, pembesaran itu bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.

“Alhamdulillah, saya menerima khabar gembira dari Kanada apabila PETRONAS bersama rakan usaha samanya berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia.

“Keputusan ini membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion,” kata beliau dalam perkongsian di Facebook.

Anwar turut merakamkan tahniah kepada seluruh warga PETRONAS atas kejayaan tersebut yang menurutnya mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia dalam menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada PETRONAS.

“Keupayaan syarikat negara menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa turut mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia.

“Penghargaan saya kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada PETRONAS.

“Saya mengalu-alukan pertemuan bersama PM Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” kata beliau.





No comments: