SAMM P.PINANG
Jangan cemburu Shiro dapat jadi pensyarah UKM.
Itulah cara UMNO menghargai dan menjaga penyokong mereka. Kalau bagi kita dia tak layak, bagi mereka mungkin dialah orang yang paling layak dan sesuai. Mereka ada kuasa, mereka gunakan kuasa untuk orang mereka. Apa masalahnya?
Yang menjadi persoalan ialah kita.
Penyokong yang selama ini setia dan bekerja kuat untuk PH, ada yang akhirnya dilayan seperti tidak pernah wujud. Kontrak tamat, peluang ditutup, dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp, tidak lagi dipanggil ke program dan diketepikan daripada ruang yang dahulu mereka bantu bina.
Ironinya, apabila kerajaan perlukan bantuan penyokong di media sosial, barulah telefon dicari. Tetapi apabila tiba masa menghargai mereka, seolah-olah tiada siapa yang nampak.
Lebih pelik, ada pula yang dahulu menyerang kerajaan tetapi tetap diberi ruang dan perhatian kerana mungkin ada nilai politik yang boleh digunakan. Penyokong sendiri pula dibiarkan kecewa dan membawa haluan masing-masing.
Sebab itu jangan terlalu hairan apabila semakin ramai otai-otai dan penyokong lama PH mula tarik handbrake, masuk gear P atau memilih untuk tidak lagi aktif.
Politik bukan sekadar tentang siapa menang pilihan raya. Ia juga tentang bagaimana orang yang membantu ketika susah dihargai apabila sudah ada kuasa.
Jadi, jangan cemburu dengan Shiro.
Mungkin elaun pensyarah itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan pelbagai bentuk penghargaan yang boleh diberikan oleh sebuah kerajaan kepada mereka yang dianggap penting.
Kalau kita tahu apa yang berlaku di belakang tabir, mungkin kita bukan sekadar terluka.
Kita mungkin tertanya-tanya:
“Selama ini kita berjuang untuk siapa?”

No comments:
Post a Comment