Kerajaan Negeri Sembilan seolah tidak berfungsi, PKR kritik kepimpinan MB Umno







Kerajaan Negeri Sembilan kini seolah-olah tidak berfungsi susulan kemelut politik dan pentadbiran yang berlaku di negeri itu.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan berkata, perkembangan semasa bukan sahaja melibatkan persoalan Perlembagaan dan institusi diraja, malah menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

PKR Negeri Sembilan turut menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan serta pendirian Menteri Besar yang didakwa tidak selari dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. 

PKR Negeri Sembilan menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan serta pendirian Menteri Besar yang tidak selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Kesan besar akibat krisis pentadbiran ini tentunya dirasai rakyat Negeri Sembilan,” kata kenyataan gabungan itu yang dikongsikan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.

Menurut kenyataan itu, kemelut yang berlaku telah memberikan kesan terhadap kehidupan rakyat dan kegiatan ekonomi negeri, khususnya apabila terdapat ketidaktentuan dalam pentadbiran berkaitan kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Parti itu berkata keadaan berkenaan berpotensi menjejaskan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri, termasuk pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek.

“Kemelut ini memberikan kesan terhadap kehidupan rakyat dan kegiatan ekonomi negeri.

“Ketidaktentuan dalam pentadbiran berkait kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri,” ujarnya.

Gabungan itu pada masa sama membangkitkan isu pelantikan JPKK dan ahli majlis yang menurutnya tidak boleh terus tergantung kerana kedua-dua institusi itu merupakan penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

Parti itu memberi amaran keadaan berkenaan boleh menyebabkan penduduk kampung dan komuniti setempat kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan.

“Kerajaan negeri perlu memastikan wujudnya kejelasan tentang kuasa membuat keputusan, tanggungjawab setiap pihak dan kesinambungan pentadbiran. Kepentingan rakyat mesti mengatasi sebarang kepentingan politik atau pertimbangan peribadi,” jelasnya. 

PKR Negeri Sembilan turut menggesa semua pemimpin politik mengutamakan kebijaksanaan dan mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan, selain memberi ruang kepada proses Perlembagaan dan undang-undang menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Dalam kenyataan sama, gabungan itu menegaskan pendiriannya untuk terus menjunjung kasih dan memberikan sokongan kepada Tuanku Muhriz serta menghormati kedudukan dan peranan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.




No comments: