Pergerakan Kapal Minyak Meningkat Di Selat Hormuz

 

Kapal tangki minyak dan gas berlabuh di perairan Oman sebelum memasuki Selat Hormuz pada 21 Julai 2026.

ISLAMABD, 30 Sep – Penghantaran minyak melalui Selat Hormuz semakin meningkat dan kini berada antara 65 peratus dan 70 peratus tahap sebelum perang, menurut pembekal data tenaga Vortexa yang menjawab pertanyaan Agensi Berita Jerman (dpa) pada Selasa.

Angka itu adalah untuk semua produk minyak termasuk gas petroleum cecair (LPG) dan produk ditapis seperti petrol.

Berbanding tempoh sebelum perang, kira-kira 80 peratus minyak mentah dan peluwap yang tidak diproses kini melalui selat itu, menurut Vortexa.

Kapal-kapal di Selat Hormuz berhampiran pantai Bandar Abbas, Iran pada 28 September 2026. Foto Reuters/ISNA/ WANA.

Vortexa meletakkan purata mingguan pada 11.2 juta tong minyak mentah sehari, angka yang sebelum ini juga dilaporkan oleh Wall Street Journal.

Penganalisis Amena Bakr daripada pembekal data Kpler juga melaporkan pemulihan dalam eksport minyak dari Teluk.

Data Kpler yang dikongsikan di X menunjukkan pengeluar utama Timur Tengah mengeksport 12.8 juta tong sehari pada September, menurun daripada 18.8 juta pada Februari.

Tindakan dan ancaman ketenteraan Iran sebahagian besarnya menghalang laluan di selat itu sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel mula menyerang Iran pada akhir Februari.

Vortexa mengaitkan sebahagian peningkatan yang jelas dalam penghantaran tenaga sejak akhir bulan Julai dengan pengembangan apa yang digelar “armada ulang-alik.”

Penganalisis dan media AS melaporkan bahawa kapal tangki yang dilindungi oleh Tentera Laut AS bergerak berulang-alik melalui selat itu, mengangkut minyak dari terminal pemuatan di Teluk ke kapal tangki yang menunggu di luar selat.

Pergerakan trafik kapal meningkat di laluan Selat Hormuz pada 29 September 2026.

Peningkatan dalam penghantaran minyak dari Arab Saudi juga menyumbang kepada peningkatan dalam eksport, menurut Vortexa. – Bernama-dpa




No comments: