
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Gabenor Keralam, Rajendra Vishwanath Arlekar di Kozhikode pada 14 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KERALAM, 14 Sep – Jadual padat di Keralam diteruskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar dengan menerima kunjungan hormat Gabenor Keralam, Rajendra Vishwanath Arlekar pada hari kedua lawatan kerja beliau ke negeri di selatan India itu.
Perbincangan antara Perdana Menteri dan gabenor itu berkisar kepada hubungan Malaysia-Keralam yang telah berakar sejak sekian lama menerusi jalinan perdagangan, pendidikan, pergerakan masyarakat serta pertukaran budaya yang terus mempererat hubungan antara rakyat.

Menurut hantaran di media sosial, Anwar berkata, beliau turut berbincang mengenai potensi memperluas kerjasama dalam sektor bernilai tinggi, khususnya ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan dan pendidikan, selaras dengan kekuatan serta kepentingan bersama.
“Alhamdulillah, kami turut sepakat untuk meneroka usaha meningkatkan hubungan perniagaan, merancakkan aliran pelancongan serta memperbanyak pertukaran antara rakyat agar hubungan erat ini terus berkembang dan membawa manfaat bersama,” katanya.

Beliau juga menghadiahkan senaskah buku biografi mengenai penyanyi lagenda India, Kishore Kumar yang tular selepas Anwar secara spontan menyanyikan petikan lagu klasik dendangan penyanyi itu.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Keralam, V D Satheesan dan delegasi beliau seraya merapatkan hubungan pentadbiran Malaysia-Keralam dalam pelbagai bidang khususnya menerusi kerjasama ekonomi serta peningkatan perdagangan dan pelaburan.

“Kami turut meneroka peluang kerjasama dalam bidang ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan sektor bernilai tinggi. Hubungan perniagaan, pertukaran rakyat dengan rakyat serta jalinan sejarah dan budaya yang erat juga perlu terus diperkasa.
“Saya turut mengundang CM Satheesan untuk berkunjung ke Malaysia bagi meneruskan perbincangan ini dan menterjemahkan segala potensi yang ada kepada kerjasama yang lebih konkrit serta memanfaatkan rakyat kedua-dua negara,” ujar Anwar.

Lawatan Anwar buat julung-julung kali ke Keralam sebagai Perdana Menteri bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama strategik dalam sektor utama termasuk perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, bakat dan tenaga kerja serta kesalinghubungan serantau.
No comments:
Post a Comment