
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Keralam, V D Satheesan dan mengadakan pertemuan dua hala di Calicut pada 14 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KERALAM, 14 Sep – Usaha untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serta memudah cara perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Keralam, antara fokus utama kunjungan hormat Ketua Menteri, V D Satheesan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Negeri di selatan India itu merupakan destinasi kedua dilawati Anwar bersempena lawatan kerja negara itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi serta lawatan sulung beliau ke Keralam sebagai Perdana Menteri.

Perbincangan berlangsung semasa kunjungan hormat Satheesan terhadap Anwar di Calicut, di sini, yang diadakan selepas Anwar tiba malam tadi bagi menerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar, dalam satu majlis “Gathering of Honour Prime Minister Malaysia” di Markazu Saquafathi Sunniya, yang turut dikenali sebagai Jamia Markaz.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata, pertemuan itu memberi ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi besar Kerala dalam memperkukuh hubungan Malaysia-India, khususnya menerusi kerjasama ekonomi serta peningkatan perdagangan dan pelaburan.
Perbincangan tertumpu kepada kerjasama lebih erat kedua-dua pihak menerusi bidang pelancongan, ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pendidikan, perdagangan dan sektor bernilai tinggi yang lain.

“Kami turut meneroka peluang kerjasama dalam bidang ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan sektor bernilai tinggi. Hubungan perniagaan, pertukaran rakyat dengan rakyat serta jalinan sejarah dan budaya yang erat juga perlu terus diperkasa.
“Saya turut mengundang CM Satheesan untuk berkunjung ke Malaysia bagi meneruskan perbincangan ini dan menterjemahkan segala potensi yang ada kepada kerjasama yang lebih konkrit serta memanfaatkan rakyat kedua-dua negara,” ujar Anwar.

Pertemuan berlangsung dalam suasana penuh mesra dengan Anwar turut menyerahkan cenderahati khas mewakili Kerajaan Malaysia kepada Satheesan sebagai tanda kenangan buat kedua-dua pihak.
Hadir mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Anwar turut bertemu Gabenor Keralam, Rajendra Vishwanath Arlekar semasa berada di sini sebelum mengadakan sidang media sekali gus mengakhiri lawatan kerja lima hari ke negara itu.
No comments:
Post a Comment