Pelaburan RM250 Juta Mahsuri Food Jana Peluang 250 Pekerjaan Baharu Di Negeri Sembilan

 


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hadir merasmikan kilang Mahsuri Food di Bandar Enstek, Nilai pada 22 Mei 2026. Foto Media MNBS

SEREMBAN, 23 Mei – Satu lagi kejayaan dirintis kerajaan Negeri Sembilan apabila perasmian kilang baharu Mahsuri Food di Bandar Enstek, Nilai semalam, menandakan pelaburan strategik bernilai RM250 juta yang menjadi bukti keyakinan pelabur terhadap potensi negeri itu.

Projek ini amat bermakna kerana ia bakal mewujudkan 200 hingga 250 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang termasuk teknikal dan R&D, merancakkan ekonomi setempat melalui limpahan manfaat kepada sektor logistik dan perniagaan kecil.

Ia aekali gus memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai peneraju hab industri makanan halal yang progresif dan stabil.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hadir merasmikan kilang Mahsuri Food di Bandar Enstek, Nilai pada 22 Mei 2026. Foto Media MNBS

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, kewujudan kilang ini merupakan antara bentuk pelaburan yang amat diperlukan Negeri Sembilan kerana bukan sahaja merancakkan ekonomi negeri, malah membantu meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.

“Saya juga melihat pemilihan Bandar Enstek sebagai lokasi pelaburan amat tepat memandangkan kawasan ini semakin berkembang sebagai hab pertumbuhan baharu yang mempunyai akses logistik dan infrastruktur yang baik.

“Kehadiran industri seperti Mahsuri Food akan memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat termasuk sektor logistik, pembekal tempatan, kontraktor serta peniaga kecil di kawasan sekitar,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Para pekerja mahir yang ceria menyambut kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang merasmikan kilang Mahsuri Food di Bandar Enstek, Nilai pada 22 Mei 2026. Foto Media MNBS

Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara peneraju industri makanan halal dengan sokongan pelaburan moden, teknologi automasi serta pasaran antarabangsa yang semakin berkembang.

“Semoga pembukaan kilang baharu ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi di Negeri Sembilan serta terus membuka peluang pekerjaan, meningkatkan ekonomi rakyat dan memacu pembangunan negeri secara mampan,” ujarnya lagi.



No comments: