Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memperjelaskan pertikaian berhubung perbezaan data kewangan negeri berpunca daripada kaedah pelaporan berbeza antara laporan Kerajaan Negeri dan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Beliau berkata, berdasarkan LKAN 2024, Kedah merekodkan defisit RM283.20 juta berbanding RM271.06 juta pada tahun 2023 selepas mengambil kira hasil negeri sebanyak RM769.53 juta berbanding jumlah keseluruhan perbelanjaan RM1,052.73 juta merangkumi belanja mengurus dan pembangunan.
Menurut beliau, angka hasil yang dilaporkan LKAN hanya melibatkan Akaun Hasil Disatukan dan tidak mengambil kira terimaan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan serta Akaun Pembangunan Bekalan Air.
“Pada masa sama, perbelanjaan pembangunan turut diambil kira dalam jumlah keseluruhan perbelanjaan.
“Jika mengambil kira terimaan Kumpulan Wang Pembangunan bersama Kumpulan Wang Hasil Disatukan, kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Kedah sebenarnya mencatat lebihan sebanyak RM14.77 juta bagi tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertikaian segelintir pihak berhubung perbezaan data laporan kewangan negeri dengan LKAN.
Sebelum ini, laporan disiarkan menyatakan perbelanjaan negeri adalah RM758.37 juta dengan surplus RM11.16 juta, berbanding angka dalam LKAN menunjukkan perbelanjaan RM1,052.73 juta serta defisit RM283.20 juta.
Menurut Sanusi, sebahagian besar perbelanjaan pembangunan khususnya sektor bekalan air dibiayai menerusi geran dan pinjaman Persekutuan yang diperuntukkan khusus untuk projek pembangunan.
Katanya, dana tersebut perlu digunakan sepenuhnya bagi tujuan berkenaan.
“Justeru, defisit yang dilaporkan dalam LKAN perlu dilihat dalam konteks komitmen pembangunan negeri secara keseluruhan,” katanya.
Beliau jelaskan, peruntukan bagi perbelanjaan bekalan air diperoleh daripada geran dan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang dimasukkan ke dalam Akaun Pembangunan Bekalan Air.
“Peruntukan tersebut tidak diklasifikasikan sebagai hasil negeri kerana keseluruhan dana berkenaan hendaklah digunakan khusus bagi pelaksanaan projek dan pembangunan berkaitan bekalan air.
“Sebagai contoh, pinjaman bagi pelaksanaan Projek Paip Dasar Laut Langkawi sebanyak RM50 juta digunakan sepenuhnya untuk membiayai projek tersebut. Namun jumlah itu tetap dikira bersama sebagai perbelanjaan pembangunan dengan aktiviti pembangunan lain,” katanya.
https://www.kedahonline.com/2026/05/sanusi-perjelas-pertikaian-laporan.html

No comments:
Post a Comment