
Jika pimpinan dan ahli dilarang membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan terkini membabitkan hubungan Pas dan parti lain, di mana letaknya kebebasan bersuara dalam Pas?
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Dipercayai susulan kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang hari ini, parti itu melarang semua pimpinan dan ahlinya membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan terkini membabitkan hubungan parti itu dengan pihak lain, dipercayai Bersatu tanpa kebenaran khas parti.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berkata peringatan itu membabitkan kenyataan mahupun ulasan dalam mana-mana saluran media atau komunikasi.

‘Jelas’ Takiyuddin, semua pihak juga diminta kekal tenang, manakala kepimpinan parti akan menguruskan perkara terbabit dengan cermat dalam waktu terdekat.
“Semua pimpinan dan ahli Pas diminta agar tidak membuat sebarang kenyataan ataupun ulasan mengenai perkembangan terkini yang membabitkan pihak lain dengan Pas, dalam mana-mana saluran media atau komunikasi ‘melainkan dengan kebenaran khas parti’.
“Semua pihak diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada Presiden dan kepimpinan parti yang akan menguruskannya dengan cermat dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, ketegangan dalam parti-parti politik Perikatan Nasional (PN) semakin ketara susulan kenyataan ‘keras’ Abdul Hadi yang menyatakan mengenai ‘sabar ada batas’ selain mendakwa Pas sedang mempertimbangkan semula kerjasama dengan Bersatu, menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pimpinan gabungan berkenaan.
Kenyataan tersebut, menurut sumber pemimpin Bersatu memberi isyarat bahawa mereka seolah-olah ‘merintis jalan’ untuk bersama dengan gerakan ‘Reset’ diketuai bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dan meninggalkan PN ‘tenggelam’ bersama Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.
Rasa tidak puas hati itu mungkin tercetus kerana di saat Pas sedang ‘memperkuatkan’ kedudukannya dalam PN walaupun ‘menyingkirkan’ Hamzah dari kerusi Ketua Pembangkang, mereka sebenarnya lebih berminat untuk bersama Hamzah dan kira-kira 18 ahli parlimen Bersatu yang dipecat berbanding Muhyiddin yang sudah kehilangan ‘aura’ sejak 2022.

No comments:
Post a Comment