LAGI PIMPINAN PKR SABAH KELUAR PARTI

 


Gelombang dalaman PKR kini semakin bergoncang apabila seorang lagi pemimpin kanan Sabah mengambil keputusan meninggalkan parti selepas hampir tiga dekad bersama perjuangan reformasi. 






Tindakan Naib Pengerusi PKR Sabah, Amin Abdul Mem, bukan sahaja mengejutkan akar umbi, malah menambahkan lagi tekanan terhadap kepimpinan parti ketika isu penghijrahan penyokong Rafizi Ramli terus hangat diperkatakan.


Keputusan Amin dilihat bukan sekadar pengunduran biasa, tetapi membawa simbolik besar terhadap keresahan yang sedang berlaku dalam PKR ketika ini. 


Selepas pemergian beberapa nama lain termasuk Artini Ali Taugan dan Razeef Rakimin, ramai mula melihat Sabah sebagai antara medan paling awal yang menunjukkan retakan serius dalam kekuatan dalaman parti itu. 


Situasi tersebut sekali gus menghidupkan persepsi bahawa gelombang keluar parti mungkin masih belum berakhir.


Dalam kenyataannya, Amin turut menyentuh mengenai langkah bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang kini mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama). 


Ucapan penghargaan dan pesanan beliau kepada rakan-rakan reformis dilihat penuh makna tersirat sehingga mengundang pelbagai tafsiran politik. 


Ramai pemerhati menganggap tindakan itu sebagai isyarat bahawa pengaruh Rafizi masih kuat dalam kalangan penyokong lama reformasi, termasuk di Sabah.


Lebih menarik, pengunduran Amin berlaku ketika PKR sedang berdepan cabaran untuk menstabilkan semula keyakinan akar umbi selepas beberapa krisis dalaman kebelakangan ini. 


Perkembangan tersebut dijangka memberi kesan besar terhadap gerak kerja parti di Sabah menjelang pilihan raya akan datang, terutama jika lebih ramai pemimpin dan ahli mula mengambil langkah yang sama meninggalkan PKR demi mencari haluan politik baharu.




No comments: