PM 2025: PM Anwar Ucap Tahniah Kepada Semua Pelajar Cemerlang

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada 31 Mac 2026. Foto PMO

PUTRAJAYA, 31 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada hari ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menggalakkan semua penerima sijil SPM untuk terus melangkah dengan tekad dan yakin bagi mencapai kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.

“Bagi yang kurang bernasib baik, usah berputus asa. Perjalanan ini masih panjang dan ruang untuk bangkit sentiasa terbuka buat mereka yang terus berusaha tanpa kenal lelah,” katanya.

Tambah Anwar, sistem pendidikan negara sentiasa tersedia untuk menyokong setiap langkah pelajar dalam mencapai kejayaan.

Katanya, masa depan tidak ditentukan oleh satu keputusan, tetapi oleh kesungguhan untuk terus melangkah dan berjaya.

Terdahulu, pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2025 di Putrajaya pagi tadi, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, memaklumkan keputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024.

Pencapaian itu menunjukkan peningkatan apabila mata GPK mengecil sebanyak 0.07 mata berbanding tahun lalu.

Menurutnya, seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2025, berbanding 13,827 calon pada 2024.

Manakala, calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran adalah seramai 141,728 orang atau bersamaan 36.47 peratus bagi SPM 2025.

 

Angka itu menunjukkan peningkatan seramai 4,937 calon berbanding 136,791 orang atau 36.13 peratus pada SPM 2024 iaitu meningkat sebanyak 0.34 peratus.

Beliau turut memaklumkan secara keseluruhannya pencapaian calon SPM 2025 berdasarkan indeks GPK adalah lebih baik sejak peperiksaan SPM yang menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai tahun 2021.




No comments: