
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya pada 31 Mac 2025. Foto PMO
PUTRAJAYA, 31 Mac – Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik ketika dunia termasuk Malaysia memasuki fasa lebih mencabar dan tidak menentu.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu mengutamakan barangan tempatan serta menyokong usahawan tempatan, memandangkan kekuatan dalaman menjadi benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
“Hakikatnya, dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya. Justeru, kita tidak boleh alpa atau terlalu selesa. Kita mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi,” katanya.

Anwar menyeru perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang meneliti perkembangan krisis tenaga global serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.
Beliau berkata, kerajaan akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh dan berkesan.

“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat. Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment