
Jemaah Menteri hari ini bersetuju terhadap terma dan syarat perjanjian bagi meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370 membabitkan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity.
KUALA LUMPUR, 19 Mar – Jemaah Menteri hari ini bersetuju terhadap terma dan syarat perjanjian bagi meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370 membabitkan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, dengan kelulusan itu Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mewakili kerajaan bagi menandatangani perjanjian pencarian dengan syarikat terbabit.
Katanya, keputusan berkenaan turut membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘tiada jumpa, tiada bayaran’.
“Mengikut prinsip ini, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.
“Fi sejumlah USD70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke berkata, kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup (closure)
bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370.
Untuk rekod, pada 2018, Ocean Infinity memulakan pencarian ‘tiada jumpa, tiada bayaran’ selama tiga bulan, meliputi kira-kira 112,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, namun tiada sebarang bukti penemuan.
Februari lalu, Loke mengesahkan pihaknya memberi kelulusan prinsipal dan dalam proses memuktamadkan kontrak untuk ditandatangani.
Ocean Infinity yang juga syarikat dari United Kingdom memberi jaminan pencarian mereka adalah berdasarkan penyelidikan dan data daripada pelbagai pakar.
No comments:
Post a Comment