Tak perlu ketuai kerajaan menanti, tak perlu bermimpi jadi PM sekali lagi, wahai Muhyiddin

 



K PRAGALATHMarch 20, 2025

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu bermimpi seolah-olah beliau mengetuai kerajaan menanti untuk menjadi perdana Menteri sekali lagi, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi.


Ini kerana beliau masih berdepan kes mahkamah dan anak menantunya masih belum menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Tambahan pula, rekod Muhyiddin sebagai perdana Menteri kelapan adalah buruk, tambah Puad dalam satu hantaran Facebook.

“Muhyiddin tidak perlu bermimpi untuk menjadi “kerajaan menanti” jika dia sendiri bercita cita mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Selesaikan dulu kes kes mahkamahnya. Buktikan kepada rakyat ketelusannya iaitu membawa balik menantunya untuk menghadapi proses keadilan di Malaysia. Rakyat mahu tahu cerita sebenar Dana Wibawa.

“Muhyiddin mendakwa dia ada solusi untuk menyelesaikan isu rakyat. Dia mendabik dada kononnya kerajaan 17 bulannya dulu berjaya. Termasuk mengharungi pandemik Covid-19.

“Hakikatnya dia Perdana Menteri ke 8 yang gagal. PKP separa masak telah menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada 5,768 dalam tempoh 38 hari “total lockdown” diumumkan.

“Indeks Pengendalian Covid-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama.

“Muhyiddin bangga pada moratorium pinjaman dan pengeluaran khas KWSP. Sedangkan itu idea Najib dan jadi syarat sokongan BN kepadanya.

“PAS menyindir syarat itu umpama syarat Puteri Gunung Ledang. Tetapi skim i-Citra yang dilaksanakan jadi i-Marah di kalangan rakyat.

“Kemuncak gagalnya Muhyiddin ialah wujud Gerakan #Bendera Putih di merata tempat. Apakah Muhyiddin ada masalah “short memory”?”

 

No comments: