19 March 2025
Mereka yang sudah lama mengikuti perjuangan PH
pasti sedar bahawa janji menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal
atau selama 10 tahun bukanlah perkara baru.
Ketika PH 1.0 yang ketika itu diketuai Tun Mahathir
Mohamad menang PRU14, janji itu memang dimasukkan dalam manifesto.
Cuma ia menjadi perkara yang tidak boleh
dilaksanakan kerana ketika itu tiada majoriti dua pertiga dimiliki.
Berbeza dengan PH yang diketuai Anwar Ibrahim
sekarang, meskipun hanya memenangi 82 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu, tetapi
melalui sokongan pelbagai parti, majoriti dua pertiga sudah diperolehi.
Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan ketika
ini berjumlah 153 orang, lebih daripada had mininum dua pertiga iaitu 148
orang.
Ketika RUU Perkhidmatan Parlimen diluluskan di
Parlimen baru-baru ini, ia turut diluluskan dengan majoriti dua perfiga.
Sebab itu, apabila Perdana Menteri bersetuju untuk
meminda perlembagaan bagi melaksanakan janji tersebut setelah ia dibangkitkan
dalam Kongres Kebangsaan DAP Ahad lalu, ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang
pelik.
Pertama kerana ia memang janji PH dan kedua,
majoriti dua pertiga sudah ada dalam tangan.
Ia hanya pelik kalau Anwar berkeras tidak mahu
melaksanakan janji tersebut.
Dalam hal ini, kerajaan hanya perlu untuk
mendapatkan konsensus daripada parti-parti yang menyokong kerajaan saja dan
rasanya ia tiada masalah untuk mendapatkannya.
Meskipun UMNO misalnya, tidak pernah berjanji untuk
menghadkan tempoh seseorang menjadi Perdana Menteri, diyakini mereka pun setuju
jika pindaan itu dilakukan.
Ini kerana, kalau ditakdirkan kerjasama UMNO
dengan PH seperti sekarang berkekalan untuk suatu tempoh yang lama, pemimpin
parti itu tentu tidak mahu selamanya berada di bawah PKR saja.
Hanya dengan adanya tempoh memegang jawatan Perdana
Menteri selama 10 tahun itu saja yang memungkinkan UMNO dapat merasa kembali
kerusi Perdana Menteri.
Tidak perlu sama sekali untuk kerajaan mendapatkan
sokongan blok pembangkang, meskipun mereka ada menawarkan persetujuan
mengenainya.
Jika blok pembangkang mahu memberi sokongan, anggap
saja ia sebagai bonus.
Disebabkan majoriti dua pertiga itu sudah ada,
Anwar tidak harus bertangguh lagi untuk melaksanakannya.
Sebaiknya, ia mesti dibawa ke Parlimen pada tahun
ini juga, lagi pun Anwar sendiri mengakui, beliau tidak mungkin dapat melepasi
tempoh 10 tahun sebagai Perdana Menterti.
Malah katanya, dua tahun memegang jawatan Perdana
Menteri pun sudah membuatkannya penat. – ShahbudinHusin 19Mac2025.
No comments:
Post a Comment