TAHUN BAHARU 2025; MALAYSIA MAJU DAN SEJAHTERA BERSAMA KERAJAAN MADANI.





1- Tahun 2024 telah melabuhkan tirainya. Jika diungkap kembali rekod tahun lalu, banyak kejayaan yang dilakar negara di bawah Kerajaan MADANI pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sekalipun negara berdepan cabaran yang getir pada tahun lalu terutamanya ekonomi dan politik, namun negara di bawah pemerintahan Kerajaan MADANI berjaya mengharungi cabaran tersebut sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan.


2- Dalam aspek ekonomi, KDNK negara meningkat kepada 4.2 peratus, 5.9 peratus dan 5.3 peratus bagi tempoh suku pertama, kedua dan ketiga, melepasi jangkaan awal penganalisis ekonomi. Ringgit pula mencatatkan prestasi terbaik di Asia berbanding dolar Amerika pada 2024, dan merupakan satu-satunya matawang utama yang mencatatkan peningkatan. Matawang Singapura, Thailand dan Indonesia pula semuanya menurun berbanding dolar Amerika. Dalam aspek pelaburan pula, Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM254.7 bilion dalam tempoh 9 bulan pertama, meningkat hampir 11% daripada tempoh sama tahun sebelumnya.


3- Selain itu, dalam aspek dasar luar negara, Malaysia telah menjadi antara negara kehadapan dalam membela Palestin akibat kekejaman regim Zionis di Gaza. Malaysia merupakan negara yang membawa cadangan untuk menggantung sehingga menyingkirkan Israel daripada PBB. Selain itu, Malaysia juga telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam BRICS sebagai negara rakan kongsi. Perkembangan ini penting bagi membuka ruang ekonomi yang lebih luas kepada Malaysia kerana BRICS menyumbang 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul AS$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia. 


4- Dalam aspek reformasi pula, sekalipun Kerajaan MADANI sering diserang dalam melaksanakan reformasi, namun jika ianya diteliti dengan lebih telus, Kerajaan MADANI telah melakukan banyak reformasi untuk meningkatkan tatakelola kerajaan pada tahun lalu. Antaranya melaksanakan PMQT di parlimen, pindaan Akta Audit 1957 dan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN). Tidak hanya itu, reformasi turut dilaksanakan terhadap penjawat awam apabila kerajaan memperkenalkan SSPA. Kini penjawat awam lebih selesa apabila menerima kenaikan gaji sebanyak 7-15% bermula 1 Disember yang lalu. 


5- Walaupun kemajuan dan kesejahteraan negara amat membanggakan dalam 2024, namun pihak pembangkang seakan tidak dapat menerima hakikat kejayaan-kejayaan yang ditempa Malaysia. Walaupun di dalam sesebuah negara demokrasi, peranan pembangkang amat diperlukan, namun ia bukanlah dengan cara menabur fitnah dan membangkitkan isu perkauman. Pembangkang yang baik ialah pembangkang yang konstruktif dalam menegur dan mencadangkan dasar dan memperbaiki polisi kerajaan yang ada pada ketika ini. Lebih malang lagi, masih ada usaha untuk cuba ‘menebuk atap’ bagi mengambil alih kerajaan. 


6- Menuju ke tahun 2025, sudah pasti harapan besar rakyat untuk melihat Kerajaan MADANI terus memimpin negara. Tahun ini juga merupakan tarikh penting apabila Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN dan memainkan peranan lebih besar terhadap dasar luarnya. Segala kejayaan ekonomi yang dicapai adalah untuk kesejahteraan rakyat terutamamya dalam membela kekuatan orang Melayu. Sentimen Islam terancam dan Melayu terpinggir hanyalah candu politik yang digunakan untuk kepentingan golongan tertentu yang tidak ikhlas dalam perjuangan. Kestabilan politik yang dipertahankan hari ini sangat penting dalam memastikan pembangunan negara yang mampan. 


7- Sebagai salah satu parti yang mendukung Kerajaan MADANI, Parti Amanah Negara (AMANAH) di bawah kepimpinan YB Datuk Seri Mohamad Bin Sabu kekal komited untuk memperkuatkan perjuangan Islam dan menjayakan agenda reformasi yang dibawa YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuhkan Kerajaan MADANI. AMANAH perlu melakukan lebih banyak anjakan gerak kerja bagi menyedarkan rakyat Malaysia bahawa membangunkan negara ini haruslah berasaskan prinsip perpaduan dan bukannya sentimen. Dengan doa dan dokongan rakyat Malaysia, Insyallah Malaysia akan terus maju dan sejahtera di tahun 2025.


Selamat menyambut Tahun Baharu 2025


MUHAMMAD FAIZ FADZIL

Setiausaha Agung

Parti Amanah Negara

1 Januari 2025