Pengalaman paranormal pertama saya

 

Pada tahun 1988 saya mula berminat dengan alam paranormal kerana mendapat banyak maklumat pelik dari rakan-rakan. 


Mereka menceritakan usaha mencari barang antik yang digunakan untuk menarik wang oleh bomoh. 


Kawan-kawan mengisahkan bagaimana pernah dikelilingi bertimbun wang ringgit yang dibawa oleh satu lembaga berjubah hijau tetapi akhirnya duit tersebut bertukar menjadi daun kerana kurang syarat. 


Susah juga untuk mempercaya kata-kata mereka walaupun mereka adalah rakan rapat, kerana saya tidak melihat dengan mata kepala saya. 


Beberapa kali mereka mengajak saya menyertai upacara tarik duit tetapi saya enggan kerana kebiasaannya selepas jam 2 pagi di tempat-tempat yang sunyi. 


Pada satu hari seorang rakan berjumpa saya,


“Din, aku tau ko tak caya apa yang kami lakukan kerana ia terlibat dengan alam ghaib tapi aku nak bawa ko ke satu tempat dan ko saksikan sendiri alam paranormal ini” ujar beliau. 


Mat (bukan nama sebenar) memang kaki paranormal kerana beliau salah saorang yang berusaha mencari barang antik yang digunakan untuk menarik duit. 


Setiap kali saya dengar, mereka masih mencari satu sterika arang antik sebagai barang terakhir untuk syarat menarik wang. 


Saya difahamkan, dengan upacara khas oleh bomoh yang mahir berserta beberapa barangan antik, jin islam akan menarik duit untuk mereka ini. 


Duit itu dikhabarkan adalah dari simpanan orang yang tidak membayar zakat (ahaks). 


Sebagai seorang Jurutera yang mempunyai minda analytical, bukan senang untuk menerima kesahihan cerita tersebut dan saya selalu mempersendakan cerita mereka. 


“Ok mat, insyaAllah saya boleh ikut kemana ko nak bawa saya asalkan jangan larut malam” balas saya. 


Akhirnya pada petang sabtu saya membuat temu janji untuk mengikut beliau ke satu tempat di Jalan Sungai Besi. 


Saya membawa kereta dengan beliau duduk di sebelah untuk navigate saya ke satu jirat cina di Sungai Besi bersebelahan Lapangan Terbang TUDM (sekarang dimiliki oleh hantu 1MDB). 


Di pinggir jirat Cina tersebut kami terpaksa berjalan melalui denai lebih kurang 1 km ke dalam pinggir hutan sehingga sampai kes ebuah pondok. 


Di pondok tersebut tinggal seorang yang dikenali sebagai bomoh artis. 


Mat memberitahu saya bahawa bomoh ini boleh melakukan susuk awet muda dan ramai artis menjadi pelanggan beliau. 


Ramai artis popular pada zaman tersebut mendapatkan khidmat Wak Amin (bukan nama sebenar). Semasa saya berada di situ saya saksikan dengan mata kepala sendiri bagaimana Wak Amin memasukkan susuk emas ke dalam badan seorang wanita. 


Wak Amin akan mengumit-ngumit mulut membaca sesuatu dan memasukan susuk emas kepada muka wanita tersebut. 


Pelik tapi benar saya lihat jarum emas masuk ke dalam muka sehingga hilang tanpa rasa sakit. Di atas kening, di pipi dan di dagu semua dimasukkan jarum emas tersebut. 


Kemudian beliau akan masukkan pula ke-tangan wanita tersebut. Saya diberitahu susuk emas tersebut agar muka sentiasa cantik dan diminati ramai. Saya hanya melihat dengan terlopong mulut. 


Mat sudah lama mengenali Wak Amin dan mengaku pernah melakukan susuk di muka dan di alat kelaminnya. Mat walaupun muka tak hensem memang menjadi kegilaan ramai perempuan. Beliau seorang ‘casanova’. 


Setelah sembang kosong, mat membuka soalan cepumas kepada Wak Amin. 


“Rakan saya ini kurang percaya dengan alam paranormal, tu sebab saya bawa dia berjumpa Wak” Mat memulakan cerita. 


“Boleh tak Wak tunjukkan sikit kat bos saya ini bagi dia percaya” tambah mat lagi. 


Saya lihat Wak mengambil satu gelas kosong berisi air setengah penuh, dan mula membaca ayat ayat dari surah yasin tetapi beberapa ketika memperlahankan bacaan dan membaca mentera pula dan menghembus ke dalam air. 


Saya dapati Wak baca ayat yasin pun terkial-kial dengan mahraj yang tidak betul. 


Kemudian dia menyerahkan cawan tersebut kepada saya agar saya melihatnya. 


Saya terperanjat kerana dalam air tersebut muncul bayangan seorang perempuan yang saya kenali. 


Beliau adalah salah seorang staf di pejabat saya yang bekerja sebagai machine operator (OMPD). 


Bayangan orang dalam air sangat jelas seperti melihat gambar TV, dan saya cuba melihat atas bawah cawan untuk memastikan tiada penipuan. 


“Itu lah orang di pejabat Tuan Haji yang banyak melakukan porak peranda, dengan memperlagakan antara kakitangan” kata Wak Amin. 


Memang di pejabat saya ada berlaku sedikit ketegangan dan pergaduhan kerana mereka berpuak-puak dan saya masih belum tahu siapa angkaranya. 


Lebih kurang 10 minit saya melihat gambaran perempuan tersebut di dalam air kerana otak saya masih tidak dapat menerima apa yang saya lihat. 


Bagaimana bayangan manusia boleh terpapar di permukaan air?


Setelah setengah jam berada di pondok Wak Amin, saya dan mat meminta permisi untuk pulang ke rumah. 


Sepanjang perjalanan otak saya berdesing cuba memikirkan fenomena tersebut yang tidak dapat dijangkau oleh otak saintifik. 


Mulai saat itu saya berminat dengan dunia paranormal dan selama 10 tahun cuba mempelajari lebih dalam dunia ghaib ini. 


Saya tidak berbuat apa-apa berkenaan bayangan perempuan staf yang saya nampak dalam gelas air kerana pada saya ia hanya mainan jin yang ingin memporak-peranda kehidupan manusia. 


Walau bagaimanapun saya awasi pergerakan staf tersebut yang memang suka memperlagakan antara kakitangan. 


Saya tidak ambil apa-apa tindakan kerana tidak mahu decision saya dipengaruhi oleh insiden di rumah Wak Amin kerana ianya mungkin satu fitnah. 


Moral of the story. 


• awas permainan jin yang boleh mempengaruhi moral conscience dan pertimbangan akal kita. 


Wallahuallam. 


Catatan oleh:

Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar 

FB: Zainuddin Omar