Baru-baru ini, buku yang ditulis oleh Hannah Yeoh, diterbitkan pada tahun 2014, menjadi isu hangat dalam kalangan penyokong PAS dan golongan tertentu yang cuba mempersoalkan kandungannya. Buku tersebut adalah sebuah catatan peribadi perjalanan spiritualnya sebagai seorang Kristian, yang sudah semestinya bersandarkan kepada kepercayaannya terhadap Bible. Adakah ini satu kesalahan?
Hannah Yeoh, seperti mana-mana penganut agama lain, berhak untuk mempercayai ajaran agamanya. Dalam buku tersebut, apabila beliau menyebut "duta Tuhan," ia jelas merujuk kepada Corinthians 5:20 dalam Bible, yang menyatakan bahawa penganut Kristian adalah "ambassadors for Christ." Hal ini tidak menghairankan kerana ia adalah selari dengan pegangan agamanya, sama seperti umat Islam yang percaya bahawa manusia adalah khalifah Allah di muka bumi, seperti yang disebut dalam surah al-Baqarah dan surah an-Nur.
Namun, sikap segelintir pemimpin PAS dan pengikutnya yang menggunakan naratif ini untuk menyerang Hannah Yeoh memperlihatkan hipokrasi dan ketandusan toleransi beragama. Apakah asas untuk mempersoalkan kepercayaan agama lain sedangkan Islam sendiri mengajarkan hormat-menghormati antara agama? Surah al-Kafirun dengan jelas menyebut, "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku."
Sebagai umat Islam, tugas kita adalah memperkukuhkan keimanan kita sendiri, bukan menimbulkan kekeliruan dengan memanipulasi kepercayaan agama lain demi keuntungan politik. Sikap menyerang peribadi seseorang yang tidak bersalah seperti Hannah Yeoh bukan sahaja mencerminkan kebencian, tetapi juga mencerminkan kegagalan memahami inti pati Islam yang sebenar.
Jika PAS dan penyokongnya benar-benar ingin memimpin masyarakat, mulakan dengan mencontohi adab Nabi Muhammad SAW, yang tidak pernah memperlekehkan kepercayaan penganut agama lain. Bukankah itu jauh lebih bermaruah daripada bermain politik murahan yang mencemarkan nama agama?
"Katakanlah, 'Wahai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu juga tidak akan menyembah apa yang aku sembah... Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.'" (Surah al-Kafirun: 1-6).
Mantoba @ King Jason
Aktivis Bloggers