Nik Hasyudeen
Tidak ada insan yang hidup selama-lamanya. Jadi, apabila dia dilahirkan, bermulah perkiraan (countdown) ke arah kematiannya. Cuma kita tidak diberitahu berapakah umur kita.
Walaupun manusia ini Allah kurniakan sifat suka mengira-gira, ada orang yang tahu apa yang dia kirakan dan ada yang ikut-ikut orang lain sahaja.
Bagi orang yang suka menyambut hari lahir, apa yang dikira ialah sudah berapa lama hidup. Berapa orang yang sedar bahawa pada setiap sedutan nafasnya bermakna jumlah sedutan nafas yang diperuntukkan sudah berkurangan sebanyak itu juga?
Di zaman Rasulullah SAW tidak ada perkiraan tahun. Namun ada perkiraan bulan-bulan yang dijadikan panduan kehidupan. Ada bulan-bulan yang dilarang berperang sebagai contoh. Bulan-bulan itu dikira berdasarkan peredaran bulan.
Hanya di zaman Umar Al-Khattab barulah tahun diperkenalkan sebagai kaedah pengurusan. Dia memilih bulan Shawal sebagai bulan yang pertama kalendarnya dan tahun hijrah sebagai tahun permulaan kalendar berkenaan. Jadi kalendar ini diasaskan kepada pergerakan bulan mengelilingi matahari.
Di samping itu ada satu sistem kalendar yang lain. Ianya berasaskan pergerakan matahari pula. Walaupun jumlah bulannya sama, namun jumlah hari di dalam setahun berbeza. Inilah kalendar yang dipanggil kalendar Gregorian. Ianya mula digunakan terlebih awal.
Disebabkan banyak negara-negara di dunia menggunakan kalendar Gregorian, ianya menjadi rujukan kepada banyak aktiviti manusia.
Banyak syarikat-syarikat yang menggunakan kalendar ini untuk menetapkan tahun kewangan. Pada setiap 12 bulan, untung rugi tahunan perniagaan dikira dan dibentangkan kepada pemegang saham.
Apa yang menariknya ialah kedudukan kewangan dikira pada satu ketika sahaja. Jika pada akhir tahun hutang syarikat ialah RM 10 juta, pada hari pertama tahun baharu jumlahnya tetap RM 10 juta, bukannya kosong seperti pengiraan untung rugi. Hanya apabila hutang ini dibayar barulah jumlahnya berkurangan.
Oleh yang demikian, bagi orang-orang yang seronok menyambut tahun baru, anda kena tetapkan apakah yang menyeronokkan anda? Jumlah umur yang semakin berkurangan atau hutang yang tetap wujud yang belum dibayar?
Ikut-ikutan ini hanya menyeronokkan sehari dua sahaja. Selepas itu kita akan menghadapi realiti yang sebenarnya.
Pagi ini saya akan membincangkan buku Za’ba berkenaan kemiskinan orang Melayu. Artikel-artikel yang dibukukan ini telah ditulis lebih 100 tahun. Adakah pemerhatian Za’ba itu betul? Adakah solusinya berjaya? Kita bincang pagi ini ya?