Laungan Reformasi Sambut PM Anwar Bersolat Jumaat Di Masjid India

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau kawasan sekitar Masjid India selepas menunaikan solat Jumaat, hari ini. Foto Iskandar Ishak

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Laungan keramat ‘Reformasi’ menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid India, di sini tengah hari tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilihat tiba di Masjid India kira-kira pukul 1.15 tengah hari bagi menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Masjid India merupakan salah satu monumen ikonik selain Masjid Jamek menempatkan peserta himpunan itu dalam beberapa siri demonstrasi terhadap kerajaan pada 1998 hingga 2015 ketika itu.

Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan meraikan majlis makan tengah hari bagi meraikan lawatan dua hari Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba dan isteri di Seri Perdana jam 11.50 pagi.

Lawatan Ishiba ke Malaysia merupakan yang pertama sejak mentadbir negara matahari terbit itu pada Oktober tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba usai majlis sambutan rasmi Perdana Menteri Jepun itu di Putrajaya pada Jumaat. Foto Bernama

Anwar dan lebih 5,000 jemaah turut mendengar khutbah bertajuk ‘Memuliakan Rejab, Menggarap Mustajab’ yang disampaikan Imam Masjid India, Ustaz Nasrul Haq Abdul Latif.

Khutbah tersebut antara lain mengingatkan dalam Al-Quran bahawa terdapat empat bulan ‘haram’ daripada bilangan 12 bulan setahun yang dimuliakan dalam kalendar Hijriah.

Ia antara lain menyebut empat bulan haram tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang memiliki kedudukan istimewa kerana amalan kebaikan dilipatgandakan pahalanya, sebaliknya dosa yang dilakukan lebih besar kesannya.