Sejak dari Langkah Sheraton , rakyat menerima mesej mengelirukan dari tingkah-laku orang politik sehingga menyebabkan rakyat yang dalam kecelaruan bertanya ke manakah arah tuju politik negara? Quo Vadis politik negara? Mesej daripada Langkah Sheraton paling utama adalah untuk menyatakan, tidak mengapa menjatuhkan kerajaan yang dilantik secara absah menerusi mandat rakyat jika Ahli-Ahli Parlimen bersetuju untuk lompat parti atas habuan jawatan yang ditawarkan dan ganjaran lumayan lain yang berlaku di balik tabir. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah memperkenalkan ‘scheme of things’ untuk mewajarkan mesej yang songsang ini sejak tahun 2020 lagi.
Mesej terkini yang mengelirukan dilakukan pula oleh Pas adalah tidak mengapa menunjukkan solidariti kepada pesalah berprofil tinggi yang telahpun dibuktikan di berbagai peringkat mahkamah. Mereka datang berbondong-bondong semacam satu pesta memperagakan populariti masing-masing dengan pengikut taksub yang berbangga dengan kehadiran mereka di perhimpunan tempoh hari. Walhasil, pendengaran kes di Mahkamah Rayuan baru-baru ini sekadar membuktikan addendum wujud tetapi bukan bermakna addendum itu boleh berkuatkuasa kerana Mahkamah Tinggi kelak akan membicarakan sejauhmana terpakai atau tidak dengan melihat segala perinciannya.
Pakatan Harapan (PH) telah mengambil sikap yang jelas dalam Perhimpunan Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa PH tidak akan hadir. Untuk rekod kes Najib telah mengambil masa selama empat tahun bermula sejak 4 Julai 2018 dengan mengambil kira faktor kekangan wabak pandemik dan sebagainya. Semua proses keadilan telah dijalankan dengan 19 saksi, dan rayuan telah diberikan mengikut proses perundangan sehingga akhirnya pada 8 Disember 2021 panel lima (5) hakim telah menetapkan kekal hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penggubahan wang haram melibatkan nilai RM42 juta dari SRC International. Mahkamah Persekutuan pada Mac 2023 menolak permohonan semak semula kes seleweng dana SRC dengan majori 4-1.
Penulis tidak menafikan perhimpunan di Mahkamah Keadilan Putrajaya tempoh hari adalah kes keabsahan wujudnya addendum, dan itu adalah hak si pemohon, namun apa kena mengena dengan Pas yang tiada kaitan dengan kes in? Umno yang merasakan perlu untuk membela Najib bukanlah sesuatu yang pelik, itu pun Umno telah mengarahkan dibatalkan perhimpunan tersebut demi menghormati titah arahan Yang di-Pertuan Agong dan sekaligus menjaga ketenteraman awam. Kenapa Pas beria-ria untuk berhimpun juga? Keliru lagi mengelirukan!
Jadi apakah mesej Pas yang terlajak untuk menjadi hero? Walau apa pun keputusan Mahkamah tentang addendum 6 Januari yang lalu, ia tetap tidak menafikan bahawa kerahan Pas untuk berhimpun pada hari tersebut telah membawa mesej yang mengelirukan kepada rakyat. Pada waktu yang sama, tindakan Pas telah menelanjangkan wajah sebenarnya yang selama ini disembunyikan dengan topeng berlabelkan Islam.
Di bawah ini adalah senarai kecelaruan identiti PAS yang terdedah dalam perhimpunan di Mahkamah Keadilan Putrajaya tempoh hari.
Laungan retorik Islam Pas adalah tin kosong kerana mereka sanggup menggadai prinsip berhimpun semata-mata untuk meraih sokongan politik murahan. Sememangnya retorik Pas adalah kosong kerana sebelum ini Ahli-Ahli Parlimennya yang didapati bersalah memfitnah di mahkamah dibela dengan arahan rasmi supaya ahli berinfaq fi sabilillah untuk membayar denda kesalahan yang tinggi.
Pas rela mengadai maruah demi mendapat markah politik dengan cara memburukkan Kerajaan Perpaduan, khususnya Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Isu Najib hanyalah alasan semata-semata tetapi hakikatnya ia telah dijadikan bahan politik murahan untuk memfitnah dan menimbulkan persepsi buruk terhadap Kerajaan Perpaduan. Fitnah sememangnya menjadi amalan politik PAS, sebab itu pemfitnah seperti Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura mendapat pembelaan!
Pas yang mendakwa dirinya sebagai ‘parti Islam’ hanyalah bersandiwara politik kerana hakikatnya ia adalah parti politik yang mengamalkan ‘politik Machiavelli’ (matlamat menghalalkan cara) yang kononnya ditentang selama ini. Ini adalah satu lagi projek pembohongan Pas terbesar kepada orang ramai dan khususnya kepada penyokongnya yang melihat kononnya Pas adalah parti Islam yang sebenarnya!
Pas hanya menggunakan prinsip hukum mengikut seleranya dan tidak menjadikannya sebagai panduan. Walaupun arahan telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara untuk tidak berhimpun di mahkamah tempoh hari, Pas tetap ingkar. Pas sanggup mencetuskan polemik politik untuk dijadikan bahan membelasah Kerajaan Perpaduan dan rela dirinya menjadi ‘batu api’ memporak-perandakan kestabilan yang dinikmati hari ini.
Pas berhimpun untuk menutup segala kelemahannya dengan menumpukan serangan kepada Dato' Seri Anwar dan Kerajaan Perpaduan. Umno dan mereka yang bersimpati dengan Najib lebih mengetahui bahawa Pas tidak ada kena mengena dengan logik pembelaan Najib tetapi Pas hanya menunggang isu addendum Najib untuk kepentingan politik peribadinya.
Kalau begitulah kecelaruan identiti Pas, ia tidak layak untuk dijadikan contoh atau 'role model' kepada sebuah perjuangan Islam, jauh sekali perjuangan Melayu. Pas hanyalah parti politik yang tidak dipandu nilai dan prinsip. Retorik Islam hanyalah sebagai memukau orang ramai dan sekadar mahu meraih undi. Perhimpunan tempoh hari yang dikerahkan oleh Pas supaya ahli dan pimpinannya hadir hanyalah taktik murahan untuk menyerang Dato' Seri Anwar Ibrahim dan menimbulkan suasana hubungan yang retak antara komponen Kerajaan Perpaduan. Seperti kata Presiden AMANAH , ‘Pas hanya bersandiwara’, jadi untuk itu kita perlu mengenali Pas supaya kita tidak terperangkap dengan sandiwaranya!
YB Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa,
Timbalan Presiden AMANAH
9 Jan 2025