KOTA KINABALU, 14 Dis – Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengumumkan penarikan diri daripada menjadi sebahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 November lalu dan sudah dimaklumkan secara rasmi kepada ibu pejabat PN bulan lalu.
Katanya, keputusan itu diambil selepas melihat PN ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17), tindakan yang tidak dapat diterima SAPP.
“Hasrat PN itu bertentangan dengan pendirian dan dasar SAPP yang selama ini menyatakan bahawa semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya ditandingi parti tempatan Sabah.
“Pendirian SAPP ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi Sabah. Kita tidak boleh berkompromi dengan komitmen untuk memastikan bahawa PRN Sabah kekal di bawah parti tempatan, bebas daripada campur tangan parti yang berpusat di Semenanjung.
“Akan tetapi desakan PN untuk meletakkan calon dari parti berpusat di Semenanjung pada PRN Sabah secara langsung bertentangan dengan prinsip asas ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Berikutan keputusan itu, SAPP kini hanya menganggotai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, SAPP sebelum ini ada mengusulkan kepada Majlis Tertinggi GRS untuk melaksanakan autonomi Sabah dengan memastikan GRS meletakkan calon di semua 73 kerusi DUN.
“Ini penting dalam menegakkan hak Sabah di bawah MA63dan mencerminkan aspirasi rakyat Sabah yang kuat untuk sebuah kerajaan yang mengamalkan federalisme sejati.
“Dengan kurang daripada 10 bulan sebelum pilihan raya yang akan datang, kami menggesa Majlis Tertinggi GRS untuk segera menyelesaikan sebarang ketidakpastian mengenai penjajaran GRS dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Katanya, perkara itu mesti diperjelaskan sebelum tahun baharu untuk membolehkan rakyat Sabah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat mengenai masa depan politik mereka.
“Sebagai peringatan, tanpa mengira apa yang mungkin dikatakan oleh pemimpin DAP atau PH Sabah, kuasa membuat keputusan muktamad tetap berada di ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur. Seperti yang kita lihat, PH dan Barisan Nasional (BN) telah mengukuhkan perikatan mereka, tanpa mengira niat baik GRS kepada PH,” katanya.
Teck Lee juga mengulangi pendirian SAPP yang kekal komited kepada GRS yang disifatkannya sebagai satu-satunya gabungan parti tempatan yang mengutamakan autonomi dan penentuan nasib sendiri Sabah.
“Walaupun masa depan politik Sabah berada di tangan rakyat Sabah, SAPP akan terus memperjuangkan prinsip ini dan sebuah kerajaan yang benar-benar mewakili rakyat Sabah,” katanya.