Memulakan lawatan kerja di China pagi ini dengan menghadiri Majlis Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) bersama-sama delegasi Malaysia di Shanghai.
Sewaktu berucap selepas pidato pembukaan oleh Premier Li Qiang, saya tegaskan betapa tema “New Era Shared Future” yang diangkat dalam CIIE Ke-7 ini begitu relevan tatkala dunia bergelut dengan sikap unilateralisme, perlindungan melampau, perpecahan dan kegalauan.
Saya berkongsi pandangan sama dengan Presiden Xi Jinping, bahawa kemakmuran dunia ini perlu memanfaatkan setiap individu dan negara. Dasar perkongsian masa depan ini menjadi asas penting mengapa Malaysia memilih menyertai pakatan BRICS, kerana prinsip ini diterima baik negara-negara Asia, Afrika, Amerika Latin dan Global South.
Saya zahirkan penghargaan atas pendirian China yang memilih untuk menjulang prinsip perkongsian kemakmuran tatkala beberapa kuasa besar ekonomi dunia memilih untuk mengambil sikap yang bertentangan.
Terkait CIIE, saya percaya ia adalah wadah penting untuk perniagaan seluruh dunia, terutama syarikat-syarikat kecil memperagakan keupayaan dan menarik pelaburan. Ini adalah contoh penting di mana kerjasama antara negara digunakan sebaiknya bagi memastikan kemajuan global dicapai secara adjl.
Pastinya Malaysia akan menggunakan kedudukan selaku Pengerusi ASEAN tahun depan untuk mempertingkat kerjasama serantau, antaranya menerusi penganjuran Sidang ASEAN+GCC+China, yang bakal melonjak pertumbuhan serantau serta merapatkan kesenjangan dalam perdagangan, pelaburan dan kemajuan ekonomi.
Saya akhiri ucapan dengan memetik satu ungkapan Cina: “前人栽树,后人乘
凉" - yang bermaksud “Pohon yang ditanam oleh satu generasi akan memberi teduhan pada generasi yang lain.”
==================