✍️ Ahmad Mursi
1. Mimpi bertemu Nabi ﷺ adalah motivasi rohani untuk peribadi, bukan petunjuk mutlak atau menjadi asas hukum.
2. Mimpi tidak boleh dijadikan hujah atau sandaran khususnya untuk justifikasi tindakan melibatkan orang ramai.
3. Imam Hasan Al-Banna menegaskan Al-Quran dan Sunnah sebagai dasar memahami Islam. Ilham, kasyaf, atau mimpi tidak dapat dijadikan sandaran hukum jika bercanggah dengan nas. (Rukun Al-Fahmu, Usul ke-2 & Ke-3).
4. Untuk menjaga keaslian agama, dalil sahih dan metodologi ilmiah harus menjadi asas, bukan pengalaman individu yang tidak boleh dibuktikan.
5. Ajaran sesat sering menggunakan mimpi atau kasyaf untuk membina pengaruh, walaupun niat sesetengahnya mungkin ikhlas.
6. Jika seseorang mendakwa bermimpi bertemu Nabi ﷺ, perbuatan fitnah, kafir mengkafir, qazaf, atau adu domba jika dilakukan tetap berdosa kerana nas yang jelas.
7. Ada yang melampaui batas dengan melakukan qazaf untuk mempertahankan dakwaan mimpi pemimpin PAS, walhal itu bertentangan dengan nas agama.
8. Ibn Hajar menukilkan bahawa Ibnu Sirin serta Sahabat seperti Ibnu Umar dan Ibnu Abbas akan meminta perincian sifat Nabi ﷺ dalam mimpi, dan menilai kesahihan mimpi berdasarkan kesesuaian dengan sifat Nabi ﷺ. (Fathul Bari, Hadith 6993-6997).
9. Menggambarkan Nabi ﷺ dalam mimpi dengan rupa yang bertentangan dengan sifat sahih baginda dalam hadith adalah tidak tepat, seperti dakwaan baginda digambarkan berwarna hitam.
10. Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi ﷺ, tapi Syaitan boleh menyerupai orang lain yang sesetengahnya sangkakan Nabi ﷺ.