KREDIT INFO- HARAPAN MADANI
KUALA LUMPUR, 5 Nov – Penyasaran subsidi diesel berjaya membantu negara menjana penjimatan sekitar RM600 juta sebulan tanpa menyebabkan berlakunya peningkatan inflasi secara ketara tetapi sebaliknya berada dalam keadaan yang terkawal.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyasaran subsidi diesel menunjukkan penurunan mendadak dari segi penjualan diesel kepada stesen minyak iaitu sekitar 25 peratus atau hampir tujuh juta liter sehari.
Menurut beliau, perkara itu mencerminkan aktiviti penyeludupan diesel berjaya dikurangkan melalui pelaksanaan dasar tersebut.
Malah, katanya, jualan diesel secara komersial pula menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus atau empat juta liter sehari dan menggambarkan setakat mana sektor industri berhenti membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak.
“Berdasarkan data awal, penyasaran subsidi diesel setakat ini telah menjana penjimatan sekitar RM600 juta sebulan. Pada masa yang sama, kadar inflasi kekal pada tahap terkawal dan baru-baru ini menunjukkan penurunan.
“Dengan kenaikan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dua peratus pada Julai 2024, 1.9 peratus (Ogos) dan 1.8 peratus (September). Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang memintanya menyatakan setakat mana keberkesanan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel yang diusahakan melalui MyBUDI dan bagaimana golongan T15 ditentukan khususnya untuk penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan tahun 2025.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kriteria golongan T15 yang akan terkesan dengan penyasaran subsidi petrol RON95 masih berada dalam pertimbangan kerajaan.
“Penentuan pendapatan isi rumah yang layak untuk harga petrol RON95 bersubsidi tidak akan ditentukan semata-mata berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Kerajaan masih meneliti pendekatan yang (akan) digunakan bagi menentukan kumpulan T15 bagi penysaran subsidi petrol RON95 dan tidak akan terikat secara terus dengan definisi HIS. Kerajaan akan teliti sebelum ia dimuktamadkan dengan mengambil kira kriteria tambahan selain pendapatan,” jelasnya.
Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan, beliau berkata, dasar semasa menyaksikan anggaran penggunaan petrol oleh segmen bukan warganegara, sektor komersial termasuk aktiviti penyeludupan adalah mencecah 40 peratus dari jumlah penggunaan.
“Memandangkan tahap subsidi petrol RON95 adalah sekitar RM20 bilion setahun, jika ketirisan kepada bukan warganegara, perniagaan dan golongan kaya dapat ditangani, ia bakal menjana penjimatan sehingga RM8 bilion setahun.
“Peralihan daripada pemberian subsidi pukal dengan harga runcit bersubsidi kepada semua pengguna tanpa had kepada penyasaran subsidi memerlukan penentuan kaedah yang bersesuaian digunapakai.
“Bagi penyasaran subsidi RON95 kerajaan masih dalam proses memuktamadkan kriteria dan keperincian penyasaran subsidi tersebut supaya dapat memenuhi keperluan rakyat, sama ada yang bermotosikal atau dengan kereta, di kawasan bandar dan luar bandar serta yang berniaga skala kecil,” jelasnya.
Tambahnya, mekanisme penyasaran subsidi tersebut dijangka melibatkan harga penetapan stesen minyak mengikut harga pasaran sementara.
“Rakyat yang layak akan terus membeli RON95 pada harga bersubsidi. Selain kaedah fleet card untuk diesel, kerajaan juga telah melaksana projek perintis pembelian petrol RON95 pada harga bersubsidi dengan menggunakan kad pengenalan dan juga e-dompet.
“Bagi meredakan kebimbangan rakyat, kerajaan akan pastikan kaedah pelaksanaan subsidi petrol RON95 yang menyeluruh dan berkesan seperti mana penyasaran subsidi diesel,” katanya.