KERJASAMA PH/BN BELUM PASTI MENJANJIKAN KEMENANGAN, TAPI LEBIH BERPOTENSI MENJADIKAN UMNO DOMINAN

 

Dua hari lalu di Pulau Pimang, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tetap bekerjasama dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, kerjasama itu perlu diteruskan demi memastikan kestabilan negara pada masa kini dan pada masa depan.

“Kita telah melihat hasil beberapa pilihan raya baru-baru ini, dan sukar bagi mana-mana parti untuk mendapatkan majoriti yang kukuh.

“Walaupun ada yang berjaya memperoleh majoriti, kemungkinan besar majoriti itu tipis dan mungkin tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya semasa Program Sesi Temu Bersama Anwar di Karnival GEN-AI: Generasi Ada Idea di sini.

Semalam, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, PRN Sabah ke-17 yang dijangka diadakan tahun depan bakal menjadi ‘makmal’ untuk menguji kerjasama antara PH dan BN.

Pengerusi BN itu berkata, PRN Sabah penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya.

Katanya, kerjasama PH dan BN menjadi asas kepada pembentukan kerajaan perpaduan dan sewajarnya diteruskan bagi menjamin kestabilan politik.

“Bagi meneruskan kerjasama PH dan BN, kita akan terjemahkannya dalam PRN Negeri Sabah terlebih dahulu.

“Selepas itu, formula yang sama akan kita gunakan untuk bekerjasama dengan lain-lain parti,” tambahnya.

Bolehkah kerjasama PH/BN menjanjikan kemenangan pada PRU16 akan datang dan menjanjikan kerajaan perpaduan dapat dikekalkan?

Mengimbas kembali keputusan beberapa PRK dan PRN di enam negeri tahun lepas, adalah jelas kerjasama PH dan BN belum tentu boleh menjanjikan kemenangan.

Dalam PRN enam negeri misalnya, PKR yang bertanding 59 kerusi,  hanya mampu menang 24 kerusi saja.

PKR juga kalah dalam PRK yang diadakan di Padang Serai, Kuala Terengganu dan Sungai Bakap.

Ertinya PKR yang berjaya mengetuai kerajaan perpaduan dengan Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri melalui kemenangan 31 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu (82 kerusi secara keseluruhan oleh PH) tidak membuatkan rakyat menambah sokongan mereka kepada parti itu.

UMNO  pula pada PRN enam negeri bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi hanya menang 19 daripadanya.

Pencapaian terbaik UMNO hanyalah di Negeri Sembilan dengan menang 14 daripada 17 kerusi DUN ditandingi. 

Prestasi UMNO di Pulau Pinang dan Selangor kurang memberangsangkan apabila hanya menang dua kerusi saja.

Di Kelantan, parti itu hilang enam kerusi disandang dan kini hanya menang satu kerusi iaitu Galas, manakala di Kedah dan Terengganu, UMNO gagal meraih sebarang kerusi.

Bagaimanapun pada PRK Dun Nenggiri, UMNO berjaya merampas kembali kerusi tersebut dengan cemerlang dan selepas itu menang lagi dengan bergaya di Dun Mahkota, Johor.

Berdasarkan situasi itu, adalah jelas bahawa calon UMNO yang disokong oleh kerajaan perpaduan mula  diterima pengundi berbanding calon PKR yang juga disokong oleh kerajaan perpaduan.

Dengan itu, sama ada PRN Sabah yang dijangka diadakan tahun depan atau PRU16 akan datang, potensi UMNO untuk mampu memenangi lebih kerusi berbanding PKR/PH adalah cerah sekali.

Kejayaan UMNO di Nenggiri dan Mahkota, manakala PKR semakin bertambah undi kalahnya di Sungai Bakap, sedangkan calon yang ditonjolkan boleh dikira memiliki pakej yang lengkap adalah gambaran yang tidak sukar untuk dibaca.

Sebab utama penolakan pengundi kepada PKR ialah kerana prestasi Anwar selaku Perdana Menteri yang terus dipertikaikan, selain banyak janji-janjinya selama ini yang sudah pun dibungkus ikat mati dan dibuang ke tepi tanpa sempat dijadikan kenyataan.

Ditambah lagi dengan prestasi menteri-menteri UMNO yang lebih menyerlah dan boleh buat kerja, manakala menteri PKR sering dicemuh serta dipertikaikan, bukan saja oleh rakyat, malah oleh penyokong parti itu sendiri.

Model dan bekerjasama melalui kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRU16 akan datang memang wajar diteruskan kerana melaluinya lebih memungkinkan UMNO/BM mampu memenangi lebih banyak kerusi berbanding PKR/PH berdasarkan kedudukan sebagai anggota kerajaan.

Yang penting, UMNO mesti dominan pada PRU16 akan datang sebagaimana yang sering ditekankan oleh Pengerusi BN, Zahid Hamidi sendiri. – ShahbudinHusin 04November2024.