DSAT Group Sdn Bhd telah pun menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Ahad.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Azizul Tandek berkata, surat tersebut diserahkan melalui peguam mereka, Tetuan Gunaseharan & Linda berhubung kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi pada 7 November lalu di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
“DSAT GROUP dan Mahsuri Medical Centre (MMC) mengemukakan surat tuntutan ini bagi menuntut agar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataannya dan membayar ganti rugi sebanyak RM1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) diberikan tempoh 10 hari untuk berbuat demikian.
“Jika beliau gagal mematuhi segala tuntutan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, DSAT Group dan MMC akan memulakan prosiding di mahkamah dengan serta-merta tanpa memaklumkan kepada YAB Menteri Besar Kedah,” ujarnya lagi.
Pada Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan Muhammad Sanusi belum menerima LOD daripada DSAT Group berhubung kenyataannya tentang isu pengambilalihan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 7 November lepas.
Beliau memaklumkan, saman dikemukakan syarikat terbabit kepada dirinya akan menjadi sejarah sekiranya ia benar-benar berjumlah RM1 bilion.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan, kenyataan dibuat tentang pihak yang mahu mengambil alih kelab bola sepak terbabit adalah bersifat umum, sekali gus tidak ditujukan kepada syarikat atau individu tertentu.
"Saya kata apa dekat dia, saya pun tidak tahu. Saya tidak sebut nama dia, tidak sebut nama syarikat dia, saya pun tidak sebut siapa-siapa.
"Saya cuma sebut siapa nak ambil (alih KDA FC) jangan jadi scammer (menipu). Siapa makan cili dia rasa pedas. Takut dia tokak (gigit) cabai. Saya pun tak tahu dia tokak ke tidak," katanya.