PESURUHJAYA PAS PERAK AKAN DI SAMAN MEMBUAT FITNAH KONONNYA MENTERI RASM...


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mahu mengambil tindakan sivil terhadap Razman Zakaria. Pesuruhjaya Pas Perak itu didakwa memfitnahnya berkait perarakan yang tular dengan insiden kibar bendera China di Dataran Menara Condong Teluk Intan, semalam. Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP berkata, pegawai khasnya telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Razman terbabit, di Balai Polis Teluk Intan, hari ini. “Saya juga mengarahkan peguam untuk mengkaji kes ini dan sekiranya didapati berasas, ‘see you (Razman) in court’ (jumpa anda di mahkamah). “Saya rasa rakyat boleh melihat sendiri (dakwaan) tohmahan dilemparkan ke atas diri saya… kononnya saya merasmikan perarakan itu tetapi malam tadi, saya bermesyuarat di Kuala Lumpur. “Bagaimana saya boleh berada di dua tempat pada masa sama? Jelas ini adalah pembohongan. “Razman (didakwa) kata saya anjurkan (perarakan itu), tetapi bukan anjuran saya pun,” katanya. Kor Ming berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pangsapuri Jalan Hospital, di Ipoh, hari ini. Beliau menegaskan bahawa dirinya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong tidak terbabit dalam penganjuran sambutan yang melanggar syarat permit itu. “Bagaimanapun yang penting, saya berharap penganjur iaitu Persatuan Kebudayaan Guan Gong, lebih sensitif dan saya mahu warga asing menghormati undang-undang negara kita. “Kedaulatan negara wajib dihormati supaya insiden sedemikian tidak berulang lagi,” katanya lagi. Sebelum ini, Razman mendakwa kejadian bendera China dikibarkan itu berlaku ketika Pesta Tanglung Teluk Intan yang turut dihadiri Kor Ming dan Kah Leong, 13 September lalu. Namun, insiden terbabit disahkan bukan berlaku ketika Pesta Tanglung, sebaliknya pada Sambutan Guan Gong Sedunia yang berlangsung semalam.