BENDA TIDAK MENJADI ISU TETAPI SENGAJA DIJADIKAN ISU



Kita akan bersolat di belakang sesiapa sahaja umat Islam  termasuk para imam Wahhabi-Salafiyy sama ada di Saudi, Mesir atau Malaysia. Tiada ulama ASWJ yang muktabar menghukumkan tidak sah solat di belakang orang yang berbeza mazhab. Hatta solat di belakang ahli bid'ah seperti Muktazilah, ahli maksiat, orang fasiq dan pelaku mungkar, perompak, pencuri atau perasuah pun dihukum sah (walaupun makruh) selagi ianya Islam dan memenuhi syarat imam. 


Kalau pun ada fikrah² mereka yang dihukum sesat pun perlu dibeza antara sesat (i) yang membawa kekufuran jelas atau (ii) yang berdasarkan tafsiran (takwil) nas yang salah. 


Seperti golongan Khawarij dahulu yang menentang Saidina Ali RA, mereka sesat berdasarkan takwil yang fasid tetapi mereka adalah muslim. Adapun solat di belakang mereka, masih sah. Saidina Ali kata mereka adalah saudara² kita tetapi menentang kita (هم اخواننا لكن بغو علينا). Setakat imam yang dikatakan berfahaman Wahhabi pada hari ini apalah sangat jika dibandingkan dengan Muktazilah, Khawarij, Murji'ah atau golongan fasiqin lain. 


Orang ramai termasuk para asatizah yang berimamkan Sheikh Maher Hamad Al-Muaiqly, Imam Masjidil Haram semalam menunjukkan betapa terbukanya ulama ASWJ Asya'irah kepada saudara sesama Islam. Mereka melayani Sheikh dengan penuh ikram. Sheikh datang ke sini pun bukan untuk mengajar fahaman² beliau dan bijak meraikan mazhab setempat.


Berbeza dengan segelintir pihak yang memang berada di sini tetapi sepanjang masa menyebarkan fahaman² yang bercanggah dengan tetapan pihak berkuasa agama setempat. Tidak cukup itu, telah menjadi habit pula mengajar orang ramai untuk memperlecehkan institusi agama seperti JAKIM, IKIM dan jabatan agama yang berbeza dengan mereka.


Saya teringat kata² al-Marhum Sheikh Dato' Abdul Hamid Tahir kepada saya dahulu, katanya "Ana pernah pesan kepada Dato' Juanda semasa awal² dilantik menjadi mufti di sebuah negeri, kalau nak jadi Wahhabi, contohilah sikap Wahhabi di Saudi. Jangan jadi Wahhabi Malaysia!".


Sebenarnya tidak menjadi isu besar pun dengan Sheikh Maher Hamad Al-Muaiqly. Yang menjadikannya masalah ialah pihak tertentu sahaja yang suka menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat awam.


Melihat kepada sikap masyarakat yang dididik oleh fahaman ASWJ aliran Asya'irah di Malaysia, kenapa perlu khuatirkan RUU Mufti WP yang memasukkan Asya'irah dalam syarat perlantikannya?. Terbukti aliran mubarakah ini bersikap muktadil sepanjang zaman. 


Dr. HK

12.10.2024