KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN KEKELIRUAN DAN SALAH FAHAM TERHADAP RUU MUFTI (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN 2024

YADIM


Orang ramai diseru supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam diakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara kita.


 KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN KEKELIRUAN DAN SALAH FAHAM TERHADAP RUU MUFTI (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN 2024)


1. Dakwaan penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) akan menggugat kebebasan warganegara adalah tidak benar. Hakikatnya, seseorang individu mempunyai hak kebebasan sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, kebebasan tersebut tidaklah bersifat mutlak kerana dibataskan antara lain Perkara 8(5)(a), 10, dan 11(5).


2. Sebagai contoh, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan ialah untuk hidup beragama, bukanlah hidup tidak beragama. Hak kebebasan beragama bagi orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama yang sebenar seperti ditentukan oleh ulil amri, atau ketua agama.


3. Dalam penentuan ajaran agama Islam yang sebenar maka ia hendaklah berlandaskan Hukum Syarak. Mufti Wilayah Persekutuan hanya bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.


4. Penggubalan undang-undang yang bersifat pengawalan merupakan ciri sebuah negara berdaulat kerana tiada seorang pun bebas melakukan sebarang pelanggaran terhadap prinsip keluhuran perlembagaan.


5. Sekatan kebebasan seseorang itu tidak bermakna dakwaan berlaku perlanggaran terhadap hak asasi itu benar kerana keabsahan suatu hak asasi itu ditentukan oleh Perlembagaan.


6. Sebagai contoh ialah fatwa mengenai amalan ajaran agama Islam yang sesuai mengikut keadaan tempatan serta larangan ikutan terhadap ajaran, pegangan dan fahaman yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.


7. Terdapat juga sesetengah pihak yang keliru dan salah faham terhadap fungsi dan kuasa Mufti di bawah sistem perundangan negara.


8. Sesungguhnya tindakan mempertikai kuasa Mufti atas alasan penjawatnya tidak dipilih oleh rakyat (Muftis are not the people’s elected representatives) adalah tidak berperlembagaan. Sebagai contoh, di bawah seksyen 35 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga diperuntukkan kuasa untuk melarang penggunaan apa-apa loji atau bahan yang pada pendapatnya mungkin akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang semasa bekerja.


9. Kuasa yang dilaksanakan oleh mana-mana individu seperti Mufti dan Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Akta mengikut bidang kepakaran masing-masing. Pelantikan mereka dibuat melalui undang-undang dan bukannya secara pentadbiran semata-mata.


10. Sehubungan itu, saya ingin menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam diakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti kerana ia akan menghalang usaha murni Kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara kita.


11. Kita seharusnya menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti kerana Mufti adalah pihak berkuasa yang berautoriti untuk memberi nasihat tentang Hukum Syarak sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 33 Akta 505 (Fasal 4 RUU Mufti).


12. Selain itu, perlu difahami bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti ini adalah mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa Negeri selaras dengan butiran 1 Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Malah, sebelum fatwa itu boleh mengikat, ia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Majlis Agama Islam terlebih dahulu. Dalam pada itu, fatwa juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis.


13. Saya sekali lagi ingin menjelaskan iaitu RUU Mufti digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja.


14. RUU ini memperuntukkan 9 Bahagian iaitu Bahagian permulaan, Mufti dan Timbalan Mufti, Jawatankuasa Fatwa, pengeluaran fatwa, penentuan kiblat, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dan perunding akidah dan pelbagai.


15. Menerusi RUU Mufti, pengasingan kuasa antara Jabatan Agama Islam, Mufti dan Mahkamah Syariah akan kelihatan lebih jelas. Pentadbiran keadilan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Hukum Syarak di bawah bidang kuasa Mufti akan ditadbir oleh Akta berasingan.


16. Saya ingin mengajak seluruh umat Islam memberi sokongan terhadap penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024).


17. Penggubalan RUU ini adalah sebahagian dari usaha Kerajaan dalam memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang diri orang Islam seterusnya menjamin hak-hak keadilan kepada umat Islam di Malaysia.


Sekian, terima kasih.


SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)


12 Oktober 2024