KUASA DAN MANUSIA YANG MUDAH LUPA



Sebelum ini, saya ada menulis kata-kata bahawa syaitan paling besar dalam kehidupan manusia ialah kuasa.


Kadang-kadang dengan dapat kuasa sebagai Pengerusi JKKK atau ketua cawangan saja pun ada yang semacam sudah hidup bagai terawang-awang di angkasa.


Kerana kuasa, manusia boleh lupa kepada banyak perkara – lupa kawan lama dan paling kerap, lupa janji-janji sebelum dapat kuasa.


Sebab itu, sering diperingatkan, jika mahu tahu watak sebenar seseorang itu, tunggu sehingga dia beroleh kuasa.


Sejak dulu, cerita-cerita tentang mereka yang tiba-tiba berubah setelah dapat kuasa tidak pernah habis dijadikan cerita.


Sepanjang masa ada saja kisah manusia yang berubah kulit muka setelah mendapat kuasa.


Tun Mahathir Mohamad setelah dapat kuasa kali kedua pada 2018, disebabkan gagal menunaikan banyak janji-janji dalam manifesto pilihan raya telah berhelah dengan mengatakan buku manifesto bukanlah kitab suci.


Maknanya bagi beliau, janji sebelum dapat kuasa bukanlah wajib untuk ditunaikan.


Bagaimanapun, sejak mengungkapkan kata-kata itu, markah dirinya sebagai negarawan secara automatik telah menurun.


Anwar Ibrahim, disebabkan berjuang paling lama untuk merebut kerusi Perdana Menteri, beliau boleh dianggap sebagai pemimpin paling banyak sekali berjanji.


Banyak sekali video-video lamanya yang mengungkap pelbagai janji yang tersimpan di arkib maya dikorek semula dan dikongsi di pelbagai platform media sosial.


Paling banyak ialah janji untuk menurunkan harga minyak setelah mendapat kuasa.


Kali terakhir janji itu dijampi-serapahkan ke telinga rakyat ialah pada 2022 di Kongres PKR.


Sebab itu, bila subsidi bersasar diesel yang bakal dikuatkuasakan tidak lama lagi, selepasnya nanti giliran petrol pula dipotong subsidi, banyak sekali kata-kata sinis ditujukan kepada Anwar


Paling banyak terdengar – yang dijanji turun harga minyak, tetapi yang dibagi naik harga minyak.


Meskipun difahami tentang keperluan semasa untuk memotong subsidi berikutan kosnya yang makin meningkat, apa yang terlihat lemah di sini adalah Anwar nampaknya tidak mengambil iktibar daripada sejarah.


Setelah Tun Mahathir terperangkap kerana gagal memenuhi janji manifesto PRU 2018, kenapakah beliau masih berani mengungkapkan kata-kata janji pada 2022 yang antara lain menyebut – tiada sebab harga minyak tidak boleh diturunkan jika PH menang PRU akan datang?


Lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji, maka bukanlah salah rakyat bila janji-janji turun minyak itu sentiasa diejek dan diperlekeh hingga kini.


Tetapi Anwar tidak pernah meninta maaf secara terbuka kerana gagal menunaikan janji turun harga minyak itu.


Apa yang pernah disebutnya ialah itu janji 20 tahun lalu serta membandingkan kedudukan harga minyak di Malaysia dengan di Arab Saudi serta kos pengeluaran yang kian meningkat.


Dalam hal ini, rakyat sebenarnya boleh faham jika janji 20 atau 15 tahun dulu yang tidak dapat ditunaikan pada tahun 2024 ini.


Namun, jika janji tahun 2022 pun gagal dipenuhi, janji pemimpin mana lagi yang boleh rakyat percayai selepas ini?


Lebih-lebih lagi, dengan subsidi bersasar diesel yang bakal diperkenalkan nanti, mahu tidak mahu dan sama ada sikit atau banyak, kenaikan harga barang tentunya tidak dapat dielakkan lagi.


Dulu ketika era Tun Abdullah Badawi, sokongan rakyat terhadap beliau secara mendadak menurun susulan kenaikan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen.


Sekali lagi, sama ada sikit atau banyak, kerajaan madani harus bersedia menghadapi ulangan penurunan sokongan seperti era Pak Lah dahulu. – ShahbudinHusin 31Mei2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/05/31/kuasa-dan-manusia-jadi-lupa.html



No comments: